
KUALA LUMPUR: Rakyat negeri Selangor masih ada yang keliru mengenai ketelusan program Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri itu tahun lalu.
Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, sehubungan itu, beliau endesak agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan yang terdiri daripada wakil kerajaan, pembangkang serta agensi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) bagi meneliti segala tadbir urus program ini menepati segala proses yang telah dilaksanakan.
“Hal ini bagi memastikan tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan kepentingan pihak tertentu,” katanya kepada HarakahDaily.
Tambah beliau, langkah yang dilakukan oleh kerajaan Selangor iaitu memperkenalkan skim insurans percuma kepada rakyat di Selangor merupakan satu tindakan terpuji kerana tidak mengenakan caj bayaran dan memberikan keistimewaan kepada rakyat negeri itu.
“Program tidak dinafikan telah memberi manfaat kepada rakyat di Selangor. Namun begitu, pada masa ini timbul pula persoalan oleh rakyat di negeri ini, yang mana beberapa individu mendakwa nama mereka didaftarkan di bawah insurans ini tanpa pengetahuan masing-masingnya,” ujarnya.
“Terdapat juga dakwaan mengatakan telah berlaku kebocoran data peribadi apabila ada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia turut didaftarkan sebagai penerima skim berkenaan,” katanya lagi.
Sebagai contoh, ujar beliau, apa yang pernah terjadi kepada ahli keluarga seorang Peguam, Asiah Abd Jalil. Abangnya turut menjadi ‘mangsa’ apabila didaftarkan untuk Skim INSAN tanpa pengetahuan dan persetujuannya sedangkan dia tidak pernah memohon.
“Tidakkah perkara ini telah menyalahi undang-undang di negara ini?
“Sebelum nama individu itu didaftarkan di bawah skim ini, pihak berkenaan seharusnya menyampaikan penerangan yang jelas terlebih dahulu mengenai keperluan insurans tersebut kepada individu-individu tersebut,” tegas beliau.
Sehubungan itu, Mohd Zai turut mempersoalkan kenapakah data tersebut diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sedangkan ada juga rakyat Selangor yang tidak ada data dalam SPR.
“Hal ini seolah-olah ada kecenderungan atau kepentingan tertentu. Selain itu, program insurans ini turut melibatkan dana kerajaan yang besar serta kepentingan rakyat.
“Sewajarnya perkara ini perlu dibentangkan terlebih dahulu di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diumumkan di khalayak ramai serta dilancarkan supaya rakyat tahu dan jelas,” ungkapnya.
Dengan berbuat demikian, beliau menegaskan bahawa tidak timbul lagi pertanyaan-pertanyaan daripada rakyat kerana mereka sudah pun diberikan penjelasan awal sebelum nama mereka dicarumkan insurans.
“Bagaimana pula bagi rakyat Selangor yang tiada data di SPR? Adakah mereka dikecualikan atau bagaimana?
“Daripada apa yang berlaku, program ini wajar dibentangkan semula dalam sidang DUN yang akan datang dan wajar diberikan penjelasan yang terperinci oleh Menteri Besar Selangor (Dato’ Seri Amirudin bin Shari),” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2023




















