
MANCHESTER: Prestasi buruk Manchester United musim ini semakin kritikal apabila sekali lagi tewas 3-2 dalam aksi di tempat sendiri menentang Galatasaray bagi saingan Liga Juara-Juara, selepas Casemiro dibuang padang dan jaringan lewat Mauro Icardi mengecewakan tuan rumah dalam saingan kumpulan A pada awal pagi Selasa (4 Sept) waktu tempatan.
Selepas kekalahan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace sabtu lalu, United bermula garang dengan semangat baharu apabila berjaya mendahului pelawat pada minit ke-17 menerusi penyerang Denmark, Rasmus Hojlund.
Walau bagaimanapun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila enam minit kemudian bekas penyerang United, Wilfried Zaha melenyapkan suasana tuan rumah menerusi jaringan penyamaan setelah kesilapan mudah di barisan pertahanan United, lapor Reuters.
Pada separuh masa kedua, aksi berbalas serangan kian rancak diantara kedua-dua pasukan dan United kembali di depan setelah Hojlund manfaatkan kesalahan pertahanan Galatasaray, Davinson Sanches tergelincir pada minit ke-67.
Walaubagaimanapun, sekali lagi United seolah-olah sukar untuk mempertahankan kedudukan apabila empat minit kemudian, Kerem Akturkoglu menjaringkan gol penyamaan dan melenyapkan suara ribuan penyokong tuan rumah.
Kesilapan penjaga gol United, Andre Onana turut merugikan pasukan apabila Casemiro yang cuba menyelamatkan keadaan mengasari pemain Galatasaray di dalam kotak penalti sekaligus dibuang padang setelah mengutip dua kad kuning dan menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat.
Mauro Icardi menjadi ‘Zero to Hero’ buat Galatasaray apabila sepakan penalti pada awalnya gagal disempurnakan kerana tersasar, namun berbaki sembilan minit sebelum waktu sebenar, pemain Argentina itu menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol kemenangan sekaligus membawa pasukannya ke tangga kedua kumpulan A dengan jumlah empat mata, meninggalkan United yang hambar tanpa sebarang mata di tempat tercorot.
Keputusan tersebut menyaksikan hari bersejarah buat gergasi Turki itu selepas berjaya merekodkan kemenangan di tempat lawan dalam kejohanan Liga Juara-Juara selepas hampir satu dekad.
Sementara bagi United pula, kekalahan ini menyaksikan kekalahan keenam Red Devils daripada sepuluh perlawanan dalam kesemua kejohanan musim ini dengan jumlah bolos sebanyak 18 gol, yang mana ini merupakan rekod terburuk mereka sejak tahun 1966.
Tangga pertama kumpulan A kini diungguli Bayern Munich dengan enam mata setelah menewaskan FC Copenhagen 2-1 yang berada di tangga ketiga.
“Pasukan lawan mungkin tidak berjaya dari segi luaran namun mereka merupakan pasukan yang bagus” Kata pengendali Galatasaray, Okan Buruk dalam satu kenyataan.
“Kita telah menewaskan pasukan gergasi. Ini merupakan minggu bersejarah kepada bola sepak Turki dan sudah tentunya buat kami.”
Sementara itu, pengendali Manchester United, Erik Ten Hag berkata mental keseluruhan pasukan adalah punca kekalahan United kali ini.
“Kesilapan mental yang kita lakukan, ia tidak boleh berlaku dalam perlawanan sepenting ini. Kamu akan dihukum. Ia sukar untuk dikawal.”
“Kami semua akan sentiasa bersama. Kita mendahului dua kali dan mengawal permainan dengan baik. Kami akan terus memperbaiki bersama-sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2023




















