
KOTA BHARU: Yayasan Amal Malaysia melancarkan Rayuan Dana Misi Kemanusiaan Morocco dan Libya bagi membantu rakyat di negara terbabit yang terjejas akibat banjir dan gempa bumi.
Menurut laporan media, lebih 2,800 penduduk terkorban di Maghribi dan lebih 50,000 rumah musnah, manakala lebih 30,000 meninggal dunia di Libya.
Bilangan korban dijangka meningkat kerana ramai mangsa yang masih hilang. Selain itu, ramai penduduk yang cedera dan kritikal.
Sehubungan itu, badan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh-tokoh individu (NGI) di seluruh Kelantan bergabung mengumpul dana sumbangan untuk membantu mangsa banjir di kedua—dua negara terbabit.
Antaranya Yayasan Amal Malaysia (Cawangan Kelantan), Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia, Pertubuhan R Kelantan, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Kelantan Care dan Pertubuhan Kebajikan Madani Rakyat Kelantan.
Presiden Pertubuhan R Kelantan Nazri Deraman berkata, pihaknya memerlukan dana sebanyak RM300,000 untuk membantu mangsa gempa bumi Maghribi dan mangsa banjir besar Libya.
“Pelbagai barangan akan diagih termasuk pek makanan, aid kit dan sebagainya mengikut keperluan penduduk di negara terbabit,” katanya di sini.
Rayuan Dana Misi Kemanusiaan Morocco dan Libya dilancarkan Speaker Dewan Negeri Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah baru-baru ini.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Bendahari Yayasan Amal Malaysia Zaman Abdullah, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan Abdul Hamid Seman, Presiden Cakna Palestin Abdul Shakur Sharrie dan Pengerusi Papisma Kelantan Dr Najmi.
Nazri juga berkata, misi kemanusiaan itu turut mendapat kerjasama Persatuan Mahasiswa Malaysia Maghribi.
“Orang ramai menyalur bantuan ke Tabung Kilat Gempa Bumi Morocco dan Banjir Besar Libya Yayasan Amal Malaysia,” katanya.
Sumbangan boleh disalur melalui akaun RHB BANK – 2530 1600 0084 98 atas nama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan.
Atau boleh terus ke link sumbangan: https://www.amalkelantan.com/tabung-bencana-gempa-bumi-morocco/. Maklumat lanjut boleh hubungi Nazri Deraman (013 9811 605) @ Nazman Che Iberahim (0111-008 1575). – HARAKAHDAILY 4/10/2023




















