Bina empangan atasi aliran deras Sungai Kupang 

Banjir di Kampung Ijoi akibat aliran puing Gunung Inas pada tahun lalu telah merosakkan banyak infrastruktur di kawasan yang dilanda.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Dua empangan Sabo akan dibina sebagai usaha bagi memperlahankan aliran deras Sungai Kupang dari Gunung Inas yang boleh memusnahkan penempatan penduduk.

Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek empangan terbabit yang akan dibina di Kampung Iboi melibatkan kos sebanyak RM20 juta akan laksanakan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah. 

- Advertisement -

“Terdapat beberapa lagi keputusan yang dipersetujui pada mesyuarat khas 1 Oktober lalu sebagai pemulihan infrastruktur yang terjejas akibat banjir di daerah Baling.

“Mesyuarat itu dihadiri Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri (ICU), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Pejabat Daerah Baling. 

“Projek-projek berkenaan antaranya di bawah tanggungjawab Pejabat Daerah Baling dan kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini. 

Menurut beliau, ia termasuklah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Baling, pembinaan titi pembaikan cerun, pembinaan jambatan dan membaik pulih infrastruktur. 

Selain itu, sebuah jambatan baharu bernilai RM3 juta akan dibina di Kampung Padang Cina, Mukim Kupang termasuk membaik pulih titi konkrit di sembilan kampung, di mana kesemua kos tersebut di bawah ICU Kedah.

Sanusi juga berkata, RTB Baling fasa 1 akan disempurnakan pada Februari 2024, manakala untuk fasa 2 dalam proses penilaian tender. 

“Kedua-dua RTB (fasa 1 dan 2) menelan kos sebanyak RM175 juta membabitkan RM15 juta fasa 1 dan RM160 juta fasa 2.

“Untuk fasa 3 pula dalam proses penyediaan kertas kerja untuk permohonan bencana melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” tambah beliau.

“Pejabat Daerah Baling akan bertindak membaiki atau membina semula tiga titi di Kampung Padang Empang, Kampung Tanjung dan di Jalan Kampung Iboi yang rosak akibat banjir baru-baru ini,” jelasnya.

Selain itu, ujar beliau, kerosakan cerun atau tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di Kampung Kepala Bukit, Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Khairiah dan di Kampung Tualang akan diambil tindakan.

“Kerajaan negeri memberi perhatian kerosakkan infra termasuk tebing runtuh di Jalan Kampung Rambong, Kampung Pisang, Kampung Iboi Tanjung Luas dan di Jalan Charuk Nau-Teluk Teduri, Jalan Kampung Hangus Kampung Bukit serta di beberapa lokasi lain.

“Berdasarkan penilaian kos untuk membaik pulih kerosakan dan tebing runtuh terbabit dianggarkan sebanyak RM5.6 juta,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2023

- Advertisement -