Lelaki Malaysia disahkan ditahan di Norway disyaki mengintip

Bangunan Mahkamah Agung Norway di Oslo. (FOTO HIASAN/en.wikipedia.org)
- Advertisement -

OSLO: Seorang lelaki Malaysia berusia 25 tahun telah ditahan pihak berkuasa Norway atas tuduhan melakukan pengintipan, termasuk mencuri dengar secara haram melalui pelbagai peranti teknikal.

Agensi perisikan polis Norway, dikenali sebagai PST mendakwa lelaki itu kerana mengintip pejabat perdana menteri, kementerian pertahanan, dan pejabat kerajaan lain di Oslo, lapor AFP dan media penyiaran Norway, NRK.

- Advertisement -

PST memberitahu NRK bahawa lelaki itu, yang ditahan pada hari Jumaat (8 Sep) lalu kemudian telah didakwa di mahkamah pada Ahad (10 Sep) dengan atas tuduhan melakukan operasi pengintipan dan risikan terhadap negara itu.

PST bagaimanapun enggan mendedahkan identiti, umur atau kewarganegaraan lelaki itu, namun NRK melaporkan suspek berasal dari Malaysia tetapi menyebut bahawa tiada syak wasangka Malaysia terlibat dalam insiden tersebut.

“Lelaki berusia 25 tahun itu ditangkap pada hari Jumaat (8 Sept) dan dituduh melakukan ‘aktiviti risikan, lebih khusus memberi isyarat risikan dengan menggunakan peranti elektronik’,” kata jurucakap PST, Trond Hugubakken kepada AFP.

NRK pula melaporkan bahawa lelaki itu adalah warga asing berusia 25 tahun, dan kereta sewanya telah ditangkap oleh kamera keselamatan pada masa yang sama ketika isyarat pengintipan dikesan di ibu pejabat kerajaan, pejabat perdana menteri dan kementerian pertahanan.

Hugubakken berkata, PST sehubungan itu telah merampas ‘unit data dan peralatan teknikal’ selepas lelaki itu ditangkap.

“PST enggan mendedahkan butiran kes itu kerana ‘satu hipotesis yang kami ada ialah dia tidak beroperasi bersendirian’. 

“Lelaki itu menolak pertuduhan apabila dia dihadapkan di hadapan hakim Ahad (10 Sept) lalu, yang memerintahkan dia ditahan dalam tahanan pencegahan selama empat minggu tanpa lawatan atau komunikasi, dengan dua minggu pertama dihabiskan secara berasingan,” kata Hugubakken.

Sehubungan itu, Kementerian Luar Malaysia telah mengesahkan seorang lelaki dipercayai warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengintipan di Norway.

Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Oslo, Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penahanan rakyat Malaysia dalam kes terbabit. – HARAKAHDAILY  12/9/2023

- Advertisement -