
KANGAR: Limpahan rezeki bakal turut dialami oleh keseluruhan rakyat negeri Perlis jika negeri itu diiktiraf sebagai salah sebuah negeri geopark.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, penilaian tersebut telah bermula sejak 2019 lagi.
“Jika Perlis diiktiraf sebagai negeri geopark, limpahan ekonomi akan dirasai oleh seluruh rakyat negeri Perlis.
“Contohnya dari segi pengusaha rumah inap, pakej pelancongan, penjual laksa, bihun sup dan pelbagai lagi pastinya akan turut terasa (impaknya),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pembukaan Penilaian Perlis Geopark di Kompleks Pentadbiran Setiausaha Kerajaan negeri, di sini, hari ini.
Menurut beliau, walaupun Perlis negeri yang kecil tetapi dari segi kerjasama daripada setiap komuniti yang ada di negeri ini adalah sangat baik.
“Kita bersyukur sejak sekian lama kita menanti hari bersejarah seperti hari ini, akhirnya tiba ke arah sesi penilaian pengiktirafan di peringkat kebangsaan.

“Saya kagum dengan seluruh rakyat negeri Perlis yang memberi kerjasama termasuk Tuanku Raja Perlis yang turut terlibat sama dalam usaha ini.
“Kita (Perlis) walaupun negeri yang ‘comel’ (kecil) tapi kita mendapat kerjasama yang baik di setiap peringkat masyarakat, saya hanya membantu,” ujarnya lagi.
Tambah Megat, Perlis sebuah negeri yang cukup bertuah kerana jarak antara satu tempat ke tempat yang lain tidak jauh daan kaya dengan khazanah alam.
“Sepatutnya kita menjadi negeri ketiga teratas yang mendapat pengiktirafan ini, tetapi yang ke-11 pun dah cukup baik,” katanya.

Cadangan Geopark Perlis atau Aspirasi Geopark Perlis melibatkan keseluruhan negeri Perlis dengan keluasan kira-kira 820 kilometer persegi; dan proses penilaian berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 7 September kelak.
Proses penilaian itu akan melibatkan enam tapak warisan geologi yang bakal dilawati iaitu Geotapak Bukit Lagi, Tapak Pemandangan Indah Wang Kelian, Gua kelam, Bukit Ayer, Bukit Jernih, dan Timah Tasoh.
Antara lain, terdapat dua tapak warisan biologi melibatkan Pusat Kepelbagaian Biologi Wang Kelian dan Taman Rimba Herba Perlis manakala tapak warisan budaya pula di Muzium Kota Kayang dan Kampung Warisan Nelayan, Kuala Perlis; selain turut terlibat sebagai sekolah angkat Perlis Geopark ialah Sekolah Kebangsaan Putra. – HARAKAHDAILY 4/9/2023




















