Calon PN Pulai dikenali masyarakat sejak 2005

- Advertisement -

PULAI: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar dikenali masyarakat tempatan sejak 2005 kerana aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Sebagai seorang usahawan, beliau dekat dengan masyarakat, lebih-lebih lagi sebagai anak jati di kawasan Parlimen Pulai.

- Advertisement -

Biarpun sudah lama dikenali masyarakat tempatan, Zulkifli mengakui perlu bekerja keras dengan mendekati lebih ramai pengundi sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

“Pada saya dalam situasi sekarang masih 50-50 peratus. Kita perlu terus buat kerja. Kita tidak boleh over confident (terlalu yakin) sangat.

“Biarpun disebut ada gelombang PN, kita perlu terus berusaha, kalau tidak buat kerja tidak boleh juga,” katanya ketika jelajah kempen di Desa Rahmat, hari ini.

Pada kempen itu, beliau turut ditemani isterinya, Haryani Daud, 42 dan petugas kempen PN.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai 9 September ini, beliau berdepan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Orang ramai tidak melepaskan peluang berswafoto dengan Zulkifli (kanan)

Manakala bagi DUN Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya dari PAS berdepan Timbalan Ketua Amanah Bakri, Nazri Abdul Rahman.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandang kedua-dua kerusi terbabit, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Zulkifli yang juga Timbalan Pengerusi Bersatu Pulai berkata, sepanjang kempen yang bermula Sabtu lepas, penerimaan masyarakat begitu menggalakkan.

“Kehadiran saya di merata tempat diterima baik masyarakat. Petang semalam, saya berkesempatan berdialog dan beramah mesra dengan pengundi-pengundi pada program di Dapur Claypott JB.

“Terima kasih tuan rumah memberi ruang kepada saya memperkenalkan diri dan secara santai menyatakan hasrat dan rancangan saya untuk masyarakat Pulai jika memenangi pilihan raya ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/8/2023

- Advertisement -