
KAHERAH: Mesir, Jordan telah mengadakan pertemuan mereka menjelang sidang kemuncak kedua-dua buah negara dengan Palestin, pada hari yang sama, di bandar New Alamein, untuk membincangkan perkembangan terkini tentang isu perjuangan pembebasan Palestin.
Dalam pertemuan itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi menerima kunjungan Raja Jordan, Raja Abdullah II ibn Al-Hussein pada Isnin (14 Ogos), yang menurut jurucakap El-Sisi, Ahmad Fahmy, kedua-dua pemimpin itu telah embincangkan tentang beberapa isu, selain menyatakan perasaan puas hati terhadap hubungan erat dua hala Mesir-Jordan.
Kedua-dua El-Sisi dan Raja Abdullah turut berbincang tentang aspirasi untuk meningkatkan hubungan dua hala Mesir-Jordan dengan cara mementingkan negara dan rakyat; dan dalam rangka kerja mekanisme kerjasama tiga pihak dengan Iraq, terutamanya di peringkat ekonomi, isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.
Kedua-dua pemimpin itu juga mengkaji perkembangan berkaitan isu Palestin dan bersetuju untuk mengukuhkan usaha negara mereka dalam memberikan sokongan penuh kepada saudara-saudara Islam di Palestin, dan berusaha untuk memulihkan proses damai.
Hal itu bertujuan untuk membantu mencapai penyelesaian yang adil dan menyeluruh kepada isu Palestin mengikut legitimasi antarabangsa.
Raja Abdullah berterima kasih kepada Mesir dan El-Sisi kerana menjadi tuan rumah sidang kemuncak tiga pihak itu, sebelum kedua-dua pemimpin tersebut menyertai Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk pertemuan segitiga berkenaan.
“Dalam mesyuarat tiga pihak tersebut, El-Sisi, Raja Abdullah dan Abbas membincangkan tentang pembangunan perjuangan Palestin dan jalan penyelesaian konflik Israel-Palestin; dengan Baitulmaqdis timur dipilih sebagai ibu kota Palestin masa depan,” jelas Fahmy dalam satu kenyataan.
Dalam pengumuman rasmi akhir dari sidang kemuncak itu, El-Sisi dan Abbas menekankan akan kepentingan peranan Bani Hasyim yang menjaga tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmaqdis, dan kepentingannya dalam memelihara identiti Arab.
Terdahulu, pada minggu lalu, Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly mempengerusikan ses ike-31 Jawatankuasa Tinggi Jordan-Mesir bersama-sama Perdana Menteri Jordan, Bishr Al-Khasawneh, di pejabatnya di Amman.
Dalam pertemuan itu mereka menyaksikan pemeteraian 12 perjanjian untuk peningkatan kerjasama dua hala dalam beberapa sektor.
Memorandum persefahaman (MoU) dibuat untuk kerjasama dalam bidang dasar ekonomi dan pembangunan, dan hal-hal lain seperti kewangan, program dalam perlindungan alam sekitar, dan hal ehwal sosial. – HARAKAHDAILY 15/8/2023




















