
YAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar kelihatan masih segar walaupun sudah meninjau tujuh daripada 18 pusat pengundian setakat jam 10 pagi.
Ketika ditemui HarakahDaily katanya, beliau mengharapkan para pengundi dapat keluar membuang undi awal dan memilih calon PN.
“Saya mengharapkan pengundi di DUN Gurun ini terutama anak-anak muda dapat membuat pilihan bijak demi masa depan negeri dan negara,” ujar beliau ketika ditemui di Pusat Pengundian, Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Pawang, di sini.
Terlebih dahulu, Baddrol menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Pusat Pengundian SK Tasik Apung, Sungai Petani.
Berkenaan gelombang sokongan rakyat terhadap PN kata bekas pemain bola sepak negara itu, sepanjang tempoh berkempen, ia amat baik dan positif.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar gelombang sokongan itu dapat diterjemahkan dikertas undi, pada hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini Baddrol akan bertarung dalam pertandingan dua penjuru dengan pencabarnya Mohammed Firdaus Johari (PH)
Firdaus merupakan anak kepada penyandang DUN berkenaan, Dato’ Johari Abdul yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana menerima tawaran sebagai Speaker Dewan Rakyat.
Berikutan itu, DUN Gurun kosong hampir lapan bulan sehingga DUN Kedah dibubarkan pada 28 Jun lalu.
Dato’ Johari melepaskan jawatan sebagai ADUN Gurun sebaik sahaja menerima tawaran sebagai Speaker Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 12/8/2023




















