‘Calon, penyokong politik jangan buat sebarang provokasi’ 

Ayob Khan ketika tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Gombak, Selangor pada hari ini, 12 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal emir)
- Advertisement -

GOMBAK: Calon-calon parti politik yang bertanding dan penyokong masing-masing dinasihatkan agar bersifat matang dalam berpolitik.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, negara sudah melalui pelbagai pilihan raya, maka ahli-ahli politik dan penyokongnya perlu bersifat matang untuk tidak membuat sebarang provokasi.

- Advertisement -

“Ini kerana sesiapa sahaja yang melakukan sedemikian dan melanggar undang-undang pilihan raya akan dikenakan tindakan tegas tanpa mengira sebarang parti politik sekalipun,” tegasnya

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pilihan Raya Negeri Selangor yang diadakan di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ayob Khan berkata, proses mengundi di enam kawasan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor setakat ini  berjalan dengan lancar.

Ayob Khan bersama-sama barisan polis yang bertugas mengawal pusat undi PRN 2023 di Selangor.

Menurutnya, beliau sendiri telah melawat pusat mengundi di enam kawasan pusat mengundi di Selangor pada pagi ini.

“Antaranya ialah Bandar Baru Bangi, Kajang, Ampang, Bukit Antarabangsa, Rumah Kelab Taman Ukay Perdana dan sekitar sini iaitu Sekolah Kebangsaan Klang Gate yang mana alhamdullillah. saya dapati semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Orang ramai yang hadir untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate tidak melepaskan peluang bergambar dengan Ayob Khan.

Beliau turut menyatakan sebanyak 9.8 peratus rakyat keluar mengundi ketika jam 9 pagi tadi di negeri Selangor merujuk kenyataan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tambah beliau, tiada sebarang laporan isu 3R dibuat sepanjang berlangsungnya PRN di negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. 

“Namun, sebanyak 131 kertas siasatan mengenai salah laku telah dibuka sepanjang musim PRN di negeri-negeri tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2023

- Advertisement -