
SHAH ALAM: PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor menafikan pihaknya menaikkan kain rentang yang tertera ‘undi PN dengan PAS masuk syurga’.
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, kain rentang berbaur provokasi itu suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab, malah boleh mengakibatkan masyarakat berpecah belah.
“Ini sangat keterlaluan, pentas demokrasi sepatutnya kita lawan secara demokratik. Apabila keluar benda-benda jahat seperti ini, kita akan buat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Taktik-taktik jahat seperti itu tidak sepatutnya dibiarkan berlaku,” katanya pada sidang media PN Selangor, di sini, hari ini.
Kebelakangan ini tersebar banyak poster provokasi pihak tertentu termasuk ‘orang muda akan sesat dan rosak jika undi kerajaan perpaduan’.
Roslan juga berkata, PAS dan PN tidak pernah ada dalam agenda untuk mengeluarkan kain rentang seperti ini.
“Jelas, kerja-kerja yang dibuat pihak tertentu dengan meletak kesalahan kepada PN. Pihak musuh nak mengadu domba dan memecahbelahkan masyarakat,” katanya.
Oleh itu beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang menaikkan kain rentang PN yang berunsurkan provokasi.
“Kita harapkan di hari-hari terakhir ini, kempen berjalan dengan baik dan lancar. Kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan dan jangan hanya jaga ceramah dan kempen PN sahaja,” ujarnya.
Menteri alih isu
Sementara itu mengulas mengenai debat Model Baharu Ekonomi Malaysia antara Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan ahli parlimen Bachok Syahir Sulaiman malam tadi beliau berkata, menteri hanya salin dan tampal dokumen daripada pihak lain.
Malah katanya kenyataan menteri tidak melambangkan keadaan sebenar rakyat yang sedang menghadapi pergelutan ekonomi sekarang.
“Rafizi boleh sebut apa pun formula dalam perdebatan tersebut tetapi ia tidak menunjukkan keadaan sebenar kehidupan rakyat,” katanya.
Menurut beliau lagi debat terbabit sekadar langkah Rafizi untuk mengalihkan pandangan rakyat ketika detik akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Kata beliau pemimpin PKR terbabit dilihat mahu mengalihkan pandangan rakyat Selangor yang semakin menolak PH-BN sekarang.
“Apabila lihat cara YB Syahir, beliau bukan sahaja tenang tetapi juga dapat memberikan fakta yang tepat walaupun kali pertama terlibat dalam perdebatan.
“Keupayaan Syahir menggambarkan ramai pemimpin muda PN yang berkelayakan dan profesional,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023




















