Manifesto PN Selangor tidak perlu berhutang

- Advertisement -

SHAH ALAM: Selangor apabila ditadbir PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak akan berhutang untuk menunaikan manifesto yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, kerajaan negeri tidak perlu berbuat demikian kerana hasil kerajaan negeri yang mencecah lebih RM2 bilion setahun.

- Advertisement -

Menurutnya, hasil kerajaan negeri tidak pernah kurang daripada jumlah itu dan juga mempunyai jumlah simpanan yang signifikan.

“So we are realistic (jadi kami realistik). Kita pun tak nak janji-janji sehingga menambah hutang dan sebagainya, tetapi kita janji sesuatu yang kita boleh laksanakannya,” katanya di sidang media khas PN Selangor berhubung status kempen pilihan raya PN, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bersatu Selangor, Dato Azman Yaakob dan Setiausaha Gerakan Selangor, Chong Hak Beang

Mengulas dakwaan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli yang mendakwa bahawa Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan oleh PN Selangor akan menyebabkan generasi muda menanggung hutang, katanya tawaran itu disediakan oleh ahli akademik dan teknorat berpengalaman.

“Yang mendraf ini bukan Rafizi Ramli, yang mendraf ini adalah ahli akademik dan mereka yang pernah berkhidmat dengan kerajaan.

“Rafizi nak capitalise (memanfaatkan) daripada debat (supaya) kita tak boleh nak jawab, terduduk. Takpelah. Biarkan rakyat menentukan,” katanya.

Rafizi ketika Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia, malam tadi menyatakan bahawa kerajaan sebelum Pakatan Harapan (PH) bergantung kepada pinjaman untuk membiayai projek bagi merangsang ekonomi, termasuk manifesto PN yang diumumkan baru-baru ini.

Namun Roslan Shahir berkata, PN Selangor yakin dengan tawaran yang diberikan kerana berpatutan dan mampu dilakukan oleh kerajaan negeri.

“Kkita yakin dan percaya, apa yang kita tawarkan ini bukan sesuatu yang luar biasa. Kalau kerajaan negeri boleh ada pendapatan RM2 bilion setahun, nak menawarkan sesuatu pada angka yang sama bukan sesuatu yang masalah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023

- Advertisement -