
PAS telah menerajui Kelantan selama 33 tahun sejak 1990. Penekanan kepada kemajuan yang seimbang dari segi nilai agama dan kebendaan menghasilkan satu kerangka utama pembangunan negeri iaitu Membangun Bersama Islam (MBI) yang dipimpin Menteri Besar Allahyarham Dato’ Bentara Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Berdepan dengan pelbagai sekatan seperti pembatalan projek infrastruktur air Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) oleh Kerajaan Persekutuan, pembangunan negeri yang menekankan teras pengukuhan aqidah, syakhsiah dan nilai hidup Islam tetap berjalan di bawah Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz (TGNA).
Walaupun dikategorikan dalam zon infrastruktur sederhana, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan masih mampu mencatat pertumbuhan purata positif sekitar 5 peratus sepanjang 24 tahun pemerintahan TGNA. Kerajaan negeri saban tahun dianugerahkan kecemerlangan lima bintang audit kewangan dan tatakelola dengan rekod bersih tanpa rasuah. Ini hasil kejayaan MBI.
Dua penggal seterusnya, kepimpinan negeri diketuai oleh YAB Dato’ Bentara Setia Ustaz Ahmad Yaakob bersama barisan exco yang diwarisi daripada pasukan TGNA. Kerangka pembangunan bertemakan MBI diteruskan oleh Ustaz Ahmad Yaakob dalam satu fasa penambahbaikan hubungan persekutuan-negeri yang diterjemahkan dengan ‘turunnya’ beberapa peruntukan utama pembangunan di bawah tanggungjawab persekutuan.
Hasil tekanan dan diplomasi, roh federalisme diperkuatkan bila mana hasil-cukai serta sumber asli seperti gas/minyak negeri yang dikutip Persekutuan dapat dipulangkan dengan adil kepada rakyat Kelantan. Perjuangan masih panjang.
Namun, Kelantan mula merasai nikmat dihormati Kerajaan Pusat hampir 3 tahun untuk 2020 -2023 dibawah Kerajaan Perikatan Nasional. Maka, sistem pembekalan air 8000 km yang tertinggal dan tenat lebih 30 tahun diberi perhatian lebih serius dengan bajet lebih besar sekitar RM2 bilion.
Masa depan sebenarnya amat cerah buat rakyat Kelantan. Dalam 5 tahun mendatang, projek-projek mega infrastruktur seperti berikut akan mula menampakkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
1) Pelan Induk Air Kelantan Sdn Bhd 2021-2030: Penyelesaian isu air.
Projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu dan menaiktaraf LRA sedia ada menjadi fokus utama. Projek penggantian paip sepanjang 2,290.01 km juga dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
2) Projek ECRL akan siap sepenuhnya dalam tempoh 3 tahun akan datang.
Pembinaan laluan sepanjang 43.86 km ini bukan sahaja menjadikan perjalanan lebih pantas untuk rakyat tetapi juga untuk pelancongan, logistik dan pengangkutan sekaligus merancakkan ekonomi tempatan. Peluang besar untuk usahawan Kelantan membina perniagaan dan perkhidmatan sokongan.
3) Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu akan siap dinaik taraf sepenuhnya pada hujung 2024.
Kelantan akan menjadi destinasi Nusantara untuk pelancongan dan perniagaan dengan adanya penerbangan terus dari Vietnam, Thailand, Kemboja dan Singapura jika Kerajaan Pusat berlaku adil dan membenarkan cadangan Kerajaan Negeri menaiktaraf LTSIP sebagai lapangan terbang antarabangsa. Kapasiti penerbangan sekarang yang hampir 40 sehari menunjukkan potensi yang amat besar ke arah itu.
4) Central Spine Road (CSR) yang diberi nama baru Lingkaran Tengah Utama (LTU) pula akan siap pada 2026.
Lebuh raya Kota Bharu – Kuala Krai ini akan membentuk sistem jaringan jalan raya yang lebih baik dan secara tidak langsung meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti laluan ke Pantai Timur. Produk-produk pelancongan (ecotourism) dan rantaiannya akan memberi peluang ekonomi yang lebih baik ke daerah-daerah yang selama ini suram disebabkan oleh infrastruktur jalan yang terhad.
5) Projek Taman Perindustrian Industrial Building System (IBS) Machang yang siap tahun 2024.
Projek pembangunan teknologi pembinaan IBS yang bernilai RM90.3 juta di Machang ini akan menjadi pemangkin utama kepada bahan-bahan binaan untuk sektor infrastruktur, perumahan dan lain-lain binaan awam. Taman perindustrian berkeluasan 200 ekar di Labok ini amat strategik untuk melengkapkan ekosistem pembangunan infrastruktur di negeri ini serta wilayah Pantai Timur secara keseluruhannya.
Lima projek besar ini adalah antara yang berimpak tinggi dan memberi pelbagai manfaat buat rakyat Kelantan. Ia bakal menjadi fokus dan peranan utama kepimpinan fasa baharu negeri Tanah Rendah Sekebun Bunga ini.
Fasa baru Kelantan ini akan diterajui oleh kepimpinan yang menggabungkan pengalaman, ilmu serta kemahiran ulama-teknokrat. Ini terserlah dengan penampilan 23 calon baharu atau bersamaan dengan 51 peratus dalam PRN ke-15 kali ini.
Calon muka baharu PAS Negeri Kelantan
Bidang undang-undang (peguam):
1) Nik Bahrum Nik Abdullah (DUN Chempaka)
2) Ahmad Zakhran Mat Nor (DUN Kemuning)
3) Wan Rohimi Daud (DUN Melor)
4) Zubir Abu Bakar (DUN Mengkebang)
5) Zamri Mat Nawang (DUN Jelawat)
Bidang pentadbiran (bekas pegawai kanan kerajaan):
1) Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil (DUN Kuala Balah). Individu besar dalam pentadbiran kementerian dan terakhir merupakan Ketua Pengarah JLKN.
2) Dato’ Zamri Ismail (DUN Kota Lama). Telah lama dalam sektor Pejabat Tanah Jajahan di Kelantan dan merupakan Pengarah Tanah dan Galian Kelantan.
Bidang kejuruteraan (bekas timb. ketua pegawai eksekutif):
1) Mohd Nasriff Daud Yatimi (DUN Pengkalan Pasir)
Ahli farmasi dan teknokrat (bekas Pengurus Besar Yayasan Alam Sekitar):
1) Zamakhsari Muhamad (DUN Apam Putra)
Bidang Kewangan (akauntan kanan):
1) Saizol Ismail (DUN Salor)
2) Mohamed Farid Mohamed Zawawi (DUN Kok Lanas)
Ahli perniagaan dan pemimpin NGO (bidang pengurusan strategik):
1) Kamaruzaman Mohamad (DUN Gual Periok).
Bidang pendidikan (asatizah berpengalaman):
1) Harun Ismail (DUN Tawang)
2) Ustazah Asilah Mohamad Zin (DUN Limbongan)
Ulama muda (bidang pentadbiran dan profesional):
1) Mohd Asri Mat Daud (DUN Demit)
2) Mohd Tarmizi And Rahman (DUN Galas)
Aktivis masyarakat:
1) Mohd Almidi Jaafar (DUN Bukit Bunga)
Gabungan calon ulama dan teknokrat dari pelbagai bidang ini lah yang akan mengisi dan memimpin Kelantan ke fasa pembangunan baharu berasaskan dasar Membangun Bersama Islam. Integriti, nilai dan aqidah Islam yang dibina serta membudaya di dalam 33 tahun pentadbiran lalu akan menjadi asas kepada lonjakan pembangunan negeri untuk fasa baharu ini yang dibentuk dalam kerangka ‘Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera.’ Ini masa yang terbaik membawa Kelantan ke fasa baru. Pasukan ulama-teknokrat ini akan diketuai oleh satu kepimpinan kanan negeri yang akan diputuskan kelak oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan selaku punca kuasa utama memutuskan Menteri Besar.
Insya-Allah perubahan besar menanti Kelantan!
MAZLI ZAKUAN MOHD NOOR
Penasihat Korporat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 10/8/2023











