
TUMPAT: Pemimpin PH-BN disaran menyelesaikan masalah bekalan air di negeri yang mereka kuasai terlebih dahulu sebelum mahu menjadi juara isu air di Kelantan.
Naib Presiden PAS, Dato’ Idris Ahmad berkata, masalah bekalan air masih tidak selesai di Pulau Pinang dan Selangor sehingga menjadi rungutan rakyat sejak sekian lama.
Katanya, masih banyak kawasan perumahan mengalami masalah bekalan air di Pulau Pinang yang berlaturan sejak lima tahun lalu.
“Kenapa tiba-tiba hendak pancing undi kononnya nak selesaikan isu air di Kelantan,” katanya pada majlis ceramah Mega Ppakat Pertahan DUN Pasir Pekan, di Cabang Empat malam tadi.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Ahli Parlimen Tumpat Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Ahli Parlimen Parit Buntar Misbahul Munir Masduki.
Baru-baru ini Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilapor berkata, kerajaan persekutuan mungkin akan mengambil alih urusan bekalan air di Kelantan jika mendapat kerjasama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan mekanisme itu diambil menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia).
Idris berkata, Kampung Permatang Ara, Sungai Baung, Sungai Duri, Kuarters Penjara dan banyak lagi tempat di Pulau Pinang belum selesai masalah air.
Begitu juga katanya, di Selangor masalah serupa berlaku di banyak tempat yang gagal diselesaikan sehingga sekarang.
“Jadi, kenapa di Kelantan bersungguh sangat sedangkan negeri-negeri yang hang dok perintah sampai sekarang belum selesai masalah air.
“Pemimpin kerajaan PH-BN mesti adil jangan menjadikan isu air sebagai kempen politik kerana perkara yang sama turut berlaku di negeri ditadbir mereka.
“Sedangkan negeri-negeri terbabit mendapat geran pembangunan air begitu banyak, sedangkan Kelantan dianaktirikan peruntukan dalam tempoh begitu lama,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2023




















