Untuk merakyatkan ekonomi Kijal Kite, undi PAS

- Advertisement -

KEMAMAN: Para pengundi di Dun Kijal digesa mengundi calon PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini dalam usaha merakyatkan ekonomi.

- Advertisement -

Calon PERIKATAN NASIONAL yang menggunakan simbol PAS pada PRN ini di Dun Kijal, Senator Datuk Razali Idris berkata, beliau akan berusaha mencari titik keseimbangan yang membolehkan setiap rakyat Kijal mendapat manfaat yang kepelbagaian sekiranya mendapat mandat nanti.

“Contohnya, orang kampung di daerah Kijal yang mempunyai tanah-tanah pertanian dan kawasan milik tanah persendirian boleh melakukan perubahan guna tanah daripada pertanian dan belukar kepada bangunan menempatkan aktiviti ekonomi atau membina projek kediaman,” katanya yang mesra dengan panggilan Tok Li dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu negeri itu berkata, lebih seminggu berkempen, antara limpahan ekonomi di bandar Kijal ialah pembangunan koridor Kemaman-Dungun.

Katanya, Kijal berada di tengah-tengah jajaran koridor ini sejak penemuan petroleum dan gas di luar pantai daerah Kemaman pada tahun 1976.

Menrutunya, satu transformasi yang pesat melalui pelbagai program perindustrian dan pembandaran.

Katanya, ramai juga rakyat Kijal termasuk anak muda bekerja di Telok Kalong dan Kerteh selain Chukai kerana sudah banyak industri besar berasaskan petroleum dan gas, industri seperti besi keluli, serbuk batu kapur dan kejuruteraan paip keluli.

Limpahan projek perindustrian dan pelaburan begitu besar sekali – berpuluh bilion ringgit telah disalurkan.

“Jelas Pelaburan Langsung Asing dan Pelaburan Langsung Domestik memberi limpahan ekonomi yang lumayan, turut tempias pada Kijal ini. Terima kasih kepada kerajaan negeri pimpinan PAS,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan Bersatu Malaysia.

Beliau sedar kesan transformasi atas kepesatan pembangunan di daerah ini, menampakkan ketidakseimbangan dari segi taraf hidup dan kos sara hidup penduduk setempat.

“Inilah cabaran dan ikhtiar Tok Li apabila dipilih sebagai wakil rakyat DUN Kijal ini kelak, TokLi akan berusaha mencari titik keseimbangan yang membolehkan setiap rakyat Kijal mendapat manfaat yang kepelbagaian,” katanya.

Contohnya, ujar beliau orang kampung di daerah Kijal yang mempunyai tanah-tanah pertanian dan kawasan milik tanah persendirian boleh melakukan perubahan guna tanah daripada pertanian dan belukar kepada bangunan menempatkan aktiviti ekonomi atau membina projek kediaman.

Katanya lagi, kawasan pesisiran pantai Kijal sehingga ke Teluk Kalong, beliau akan mengusahakan dan memperkasakan aktiviti pelancongan dengan menjadikan tarikan nelayan pesisir pantai secara dekat.

Malahan, tambahnya tangkapan nelayan boleh juga dijadikan hasil pendapatan lumayan kepada pengunjung menerusi pasar ikan dan hasil laut secara sepusat.

“Gerai-gerai menjual makanan dan ala-hipster akan diperindahkan sebagai tempat beriadah dan mengopi bersama rakan-rakan dan ahli keluarga, terutama hujung minggu (Jumaat hingga Ahad) selain cuti umum dan cuti persekolahan,” katanya.

Beliau menambah, pengusaha homestay akan diperkasakan dan dibantu dengan menjadikan Kijal sebagai Gold Coast Pantai Timur ala-Malaysia.

Kijal juga, ujarnya mempunyai hutan termasuk bukit bukau dan sungai yang menarik dan boleh dijadikan tumpuan pelancongan aqua-eco serta pelancongan sukan.

Mungkin, katanya akan disemarakkan dengan suasana festival yang menguntungkan orang kampung dengan kerjasama kerajaan negeri yang memberi pulangan lumayan.

“Insya-Allah, kepesatan perindustrian yang selari dengan sektor pertanian, perladangan, ternakan dan laut akan memberi manfaat yang sangat besar kepada rakyat Kijal.

“Limpahan ekonomi hiliran ini, Tok Li dapat melihat anak-anak muda waima berniaga kopi ala-hipster, gerai nasi dagang, keropok lekor atau lemang Kijal sekali pun boleh meraih pendapatan tinggi berdasarkan taraf pendapatan rakyat Kijal yang baik.

“Untuk merealisasikan pembaharuan dan inovasi sosioekonomi dalam merakyatkan ekonomi Kijal Kite, jangan lupa undi atau pangkah PAS untuk Tok Li pada 12 Ogos ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/8/2023

- Advertisement -