
KANGAR: Perlis membenarkan golongan peniaga tepi jalan menjalankan bisnes dengan syarat gerai adalah jenis yang bukan berbentuk binaan kekal, yang mana ia adalah selaras dengan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penjaja dan Peniaga Kecil, Fakhrul Anwar Ismail berkata, bagaimanapun, peniaga perlu mematuhi aspek 3K (Kebersihan, Keselamatan dan Kacau Ganggu) yang ditetapkan dan hendaklah mengosongkan tapak niaga apabila selesai berniaga setiap hari.
“Setiap pelanggaran undang-undang akan dikeluarkan notis kesalahan mengikut kaedah dan tempoh yang diperuntukkan oleh undang-undang yang berkaitan sebelum tindakan penguatkuasaan seperti penyitaan atau perobohan dijalankan.
“Antara undang-undang utama yang digunapakai oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) ialah Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Wan Zikri Afthar Ishak (Bersatu-Tambung Tulang) berkaitan kaedah pihak MPK dalam menyerahkan notis dan tindakan kepada peniaga-peniaga yang melanggar syarat perniagaan.
Katanya lagi, pihak MPK sentiasa berusaha untuk menjalankan kaedah penguatkuasaan secara berhemah kepada peniaga dan memberi tempoh munasabah untuk membetulkan kesalahan yang dilakukan sebelum tindakan penguatkuasaan tegas diambil.
“Dalam banyak keadaan, MPK turut memberi tempoh tambahan kepada peniaga yang membuat rayuan, namun bergantung juga kepada kesesuaian mengikut situasi dalam satu-satu kes.
“Sebagai contoh, dalam soal penguatkuasaan ke atas gerai binaan kekal yang telah lama beroperasi di atas rizab jalan, MPK bersama-sama dengan JKR sebagai Pegawai Penyelenggara bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri mengambil pendekatan penguatkuasaan secara berfasa dan memberi tempoh masa yang lebih panjang dalam melaksanakan pemutihan ke atas gerai-gerai kekal ini.
“Walau bagaimanapun, bagi kes gerai kekal yang baru dibina di atas rizab jalan, MPK dan JKR mengambil tindakan yang lebih segera sebelum gerai tersebut beroperasi lebih lama,” katanya lagi.
Perkara ini, ujarnya, bagi mengelakkan binaan tersebut menjadi lebih besar di kemudian hari.
“Ini kerana semakin lama gerai sebegini dibiarkan beroperasi akan lebih menyukarkan tindakan penguatkuasaan diambil.
“Begitu juga, tindakan penguatkuasaan juga perlu segera diambil bagi kes-kes peniaga yang melibatkan kacau ganggu dan keselamatan awam, contohnya yang mendatangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2023




















