
KUALA LUMPUR: “Menteri Ekonomi tidak perlu berpusing-pusing dalam menjawab apa jua isu ekonomi.”
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata matlamat ekonomi seharusnya mempunyai hala tuju yang jelas dan bersifat stabil.
“Oleh sebab itu pentingnya Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk melaksanakan ekonomi yang adil dan bukannya menjawab secara berpusing-pusing,” katanya.
Beliau berhujah dengan tenang tetapi padu dalam pusingan pertama debat ekonomi berjudul, Model Baru Ekonomi Malaysia yang bersiaran secara langsung di studio Radio Televisyen Malaysia (RTM) Angkasapuri yang bermula pada jam 9.30 malam ini (9 Ogos).
Debat berkenaan menampilkan diri beliau selaku pemimpin muda PERIKATAN NASIONAL (PN) dari PAS berdepan dengan ‘orang kuat’ Pakatan Harapan (PH) dari parti PKR, Rafizi Ramli.
Terdahulu dalam kenyataannya kepada HarakahDaily pada 7 Ogos, rakyat boleh menilai sendiri pendekatan dan dasar yang diambil oleh Rafizi, 45, dan beliau sendiri, khususnya terhadap ekonomi negara dan rakyat; dan inilah yang dibuktikan oleh Syahir, 40, pada malam ini di pentas debat berkenaan.

Syahir menyatakan kerajaan pada zaman ini telah banyak menyebabkan ekonomi negara ini semakin tidak adil, lebih-lebih lagi apabila hala tuju ekonomi sendiri tidak jelas.
“Cuba lihat berapa banyak kerajaan telah menjanjikan macam-macam dalam manifestonya tetapi sampai sekarang keadaan ekonomi semakin buruk,” tegasnya.
Beliau berhujah bahawa kerajaan pada era ini memerlukan kepada ekonomi yang stabil dan untuk melakukan perkara tersebut memerlukan dasar yang jelas.
“Maka, pentingnya kerajaan untuk mempunyai matlamat dan dasar yang jelas dalam membangunkan ekonomi negara yang stabil,” katanya.

Sementara dalam hujah beliau dalam pusingan kedua debat ekonomi tersebut, Syahir menegaskan bahawa kenyataan yang diberikan oleh Rafizi sendiri hanyalah penyata masalah semata-mata, dan bukannya solusi.
“Rafizi tidak fokus kepada kenyataannya bahawa seharusnya ekonomi bersifat adil.
“Bukankah saya telah menerangkan bahawa kestabilan ekonomi merupakan fokus utama dalam perbincangan ini?” tegasnya.
Beliau juga turut mengingatkan Rafizi mengenai empat teras utama dalam kestabilan nasional yang telah diutarakan sebentar tadi.
“Empat teras utama kestabilan ekonomi ialah integriti ekonomi, kesederhanaan ekonomi, kitaran ekonomi dan keadilan ekonomi.
“Bukankah saya terangkan keempat-empat ini sebentar tadi?” katanya mengundang persoalan buat Rafizi. – HARAKAHDAILY 9/8/2023




















