Kepimpinan ulama terus dipertahan di Kelantan

- Advertisement -

GOLONGAN ulama berada dalam saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan kerana keilmuan dan gerakan jihad yang disemarakkan bagi mempertahankan kedaulatan tanah air.

- Advertisement -

Rakyat Kelantan sejak dahulu menjulang ulama sebagai wira lantaran terhutang budi dek perjuangan dan pengorbanan besar golongan itu.

Kepimpinan Kelantan sinonim dengan perjuangan ulama sejak zaman Tok Guru Hasan Panglima Munas.

British sengaja menukar panggilan Tok Guru kepada Tok Janggut bagi melenyapkan identiti ulama dan melabelkan pejuang itu sebagai pemberontak dengan segala wajah keganasan.

Generasi baharu perlu mengambil iktibar daripada perjuangan ulama yang sentiasa mendahulukan kepentingan agama dan semangat cintakan tanah air (hubbul watan) sehingga nafas terakhir.

Legasi kepimpinan ulama diteruskan Dato’ Bentara Jasa Ishak Lotfi Omar (1959-1964). Pembangunan dilaksanakan pada eranya pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra bermula pada tahun 1962 dengan kos RM5 juta.

Jambatan itu menjadi nadi penting menghubungkan Kampung Sireh, Kota Bharu dengan Pasir Pekan, Tumpat.

Pada 17 April 1965, prasarana itu dirasmikan Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim.

Ketika itu Kelantan ditadbir Dato’ Mohd Asri Muda (1964-1973). Dato’ Asri juga membina Stadium Sultan Muhammad ke-IV bernilai RM1.7 juta pada tahun 1965 dengan menaik taraf Padang KAFA yang digunakan sejak 1946.

Bagaimanapun selama 17 tahun Kelantan berjeda daripada kepimpinan agamawan bermula 1973 hingga 1990.

Kebangkitan semula

Namun kebangkitan ulama sebagai umarak dicetuskan semula oleh Allahyarharham Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 21 Oktober 1990 dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI).

Dasar tersebut diperkukuhkan pula oleh Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob melalui aspirasi ‘Keberkatan Kemakmuran Kebajikan’ sehingga Kelantan muncul sebagai negeri berintergriti selama 33 tahun.

Dan tiga hari lagi bakal menentukan semula legasi kepimpinan ulama pada penggal ke-15 yang dilestarikan oleh 45 calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Misi mengekalkan kepemimpinan ulama diketuai Ustaz Ahmad selaku penyandang DUN Pasir Pekan, diikuti timbalannya Dato’ Mohd Amar Abdullah di DUN Panchor.

Anggota Exco Dato’ Mohd Nassurudin Daud terus mempertahankan DUN Meranti sejak tahun 1995. Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail penyandang di DUN Selising.

Exco Belia dan Sukan Ustaz Wan Roslan Wan Hamat mempertahankan DUN Pengkalan Kubor.

Ulama muda turut ditampilkan bagi memperkukuhkan saf yang ada sekarang. Antaranya Ustaz Mohd Asri Daud meneruskan legasi Dato’ Mumtaz Md Nawi di DUN Demit.

Misinya menjadikan DUN Demit yang terletak di kawasan Parlimen Kubang Kerian sebagai pusat keilmuwan Islam di Kelantan.

Mantan Setiausaha Politik Menteri Besar itu melihat DUN Demit berpotensi muncul sebagai mercu ilmu Islam yang diwarisi daripada Tok Kenali.

DUN Demit sudah serasi dengan kepimpinan ulama sebagai umarak kerana pernah diwakili Allahyarham Dato’ Mohamad Daud Iraqi dan Ustaz Mohamad Mustapha.

Pada PRU 2013, calon muslimat pula ditampilkan bagi mempertahankan DUN Demit. Mumtaz menang besar dengan majoriti 8,581 menewaskan Wan Mohd Nazi Wan Hamat (BN).

Dan pada pilihan raya kali ini Ustaz Asri berdepan dengan calon PH, Dato’ Ismail Ghani.

Biar pun ramai golongan profesional dan teknokrat ditampilkan PN Kelantan kali ini, namun beberapa ulama muda turut disenaraikan iaitu Ustaz Harun Ismail di DUN Tawang, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman (Galas) dan Ustazah Nor Asilah Mohamed Zin (Limbongan).

Di samping itu mengekalkan Ustaz Abdul Rahman Yunus di DUN Pasir Tumboh, Ustaz Azhar Salleh (Pulai Chondong) dan Ustaz Mohd Rodzi Jaafar (Gaal).

Kesimpulannya calon yang dipersembahkan PN Kelantan kali lebih seimbang antara golongan ulama dan profesional serta aktivis. Mereka bersedia mengemudi Kelantan melangkah penggal ke-15. – HARAKAHDAILY 9/8/2023

- Advertisement -