Kempen berunsur sogokan menjelang hari mengundi

Dato' Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS menzahirkan rasa dukacita dan memandang serius dengan insiden sogokan dan ugutan yang dilaporkan berlaku kepada para anggota tentera dan polis yang mengundi awal, semalam.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak, berkata, kejadian di Kemaman yang tular di media sosial dengan video, gambar dan tangkap layar jelas menunjukkan anggota keselamatan telah diumpan dengan duit bahkan dipaksa untuk mengundi parti tertentu.

“Insiden ini sekiranya benar-benar berlaku bukan sahaja menunjukkan ada pihak-pihak tertentu yang sedang terdesak untuk memenangi pilihan raya bahkan sedang menjahanamkan agenda pemerkasaan demokrasi yang menjadi teras sistem pemerintahan dan pentadbiran negara ini,” ujarnya pada sidang media di Pusat Media PAS Terengganu, Plaza Padang Negara, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan supaya pihak-pihak yang terlibat dikenakan tindakan dan hukuman yang sewajarnya.

Dr Alias juga menjangkakan lebih banyak aktiviti kempen berunsur sogokan dan rasuah untuk mengumpan para pengundi menjelang hari pengundian 12 Ogos ini.

Katanya, PAS negeri menerima banyak laporan berkaitan pelangaran Akta Kesalahan Pilihan Raya oleh jentera dan calon parti lawan terutamanya melibatkan unsur-unsur rasuah dalam aktiviti kempen mereka.

“Semalam juga difahamkan bahawa sudah ada laporan polis yang dibuat ke atas calon BN DUN Ladang apabila pengadu mendapati terdapat unsur rasuah dilakukan oleh calon tersebut dalam program Tukar Minyak Hitam di Pangsapuri Ladang Gemilang pada 4 Ogos lalu.

“Malah terdapat beberapa calon lagi yang telah dikenalpasti turut melakukan kesalahan pilihan raya terutamanya melibatkan aktiviti berunsurkan sogokan,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri.

Justeru, beliau mengingatkan para pengundi untuk terus memantau insiden seumpama itu sekiranya berlaku di tempat masing-masing.

“Sila rakam video, gambar atau bukti-bukti yang lain dan segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan SPRM,” katanya.

Tambahnya, PAS Terengganu juga sedang meneliti beberapa insiden salah laku melibatkan calon-calon lawan untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa. – HARAKAHDAILY 9/8/2023

- Advertisement -