
BACHOK: Kesesakan lalu lintas di pekan Jelawat susulan kewujudan bandar baharu menjadi fokus utama calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi merungkai masalah tersebut.
Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang berkata, kesesakan laluan antara Pekan Jelawat-Simpang Tiga ke Bandar Bachok begitu ketara pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Menurutnya, beberapa alternatif dirancang termasuk membina jalan baharu, laluan pintas atau mewujudkan laluan beringkat di jalan tersebut.
“Ini kerana jalan tersebut merupakan laluan utama dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu melalui Tok Bali.
“Masalah infrastruktur antara manifesto yang kami tawarkan untuk rakyat di DUN Jelawat,” katanya pada Slot Meta secara atas talian, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Pasar Jelawat sedia ada akan terus dipertahankan walaupun sudah ada Pasar Baharu Jelawat di bandar baharu.
“Pasar Lama Jelawat menjadi sumber rezeki penduduk terutamanya petani memasarkan hasil pertanian penduduk,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zameri memberitahu, beliau turut merancang untuk mewujudkan taman awam di Jelawat sebagai tempat rekreasi dan riadah anak-anak muda serta keluarga.

“Lokasi yang sesuai iaitu di tebing sungai Kubang Telaga sudah dikenal pasti mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Abdul Azziz Kadir.
“Selain itu, kita juga akan meneruskan projek pembesaran padang bola di Gelong Badak dengan dilengkapi astaka dan trek larian,” katanya yang juga seorang peguam.
Beliau juga berhasrat mewujudkan pusat kemahiran bagi melatih golongan belia kemahiran dalam bidang tertentu.
“Kita juga merancang menyediakan infrastruktur seperti kiosk dan gerai jualan di sekitar Hospital Bachok yang akan beroperasi tidak lama lagi.
“Semua perancangan itu hanya akan menjadi kenyataan sekiranya PN terus kekal di DUN Jelawat pada Sabtu ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2023




















