Jabatan Pertanian bekalkan 10 pam air RM50,000

Razali Saad
- Advertisement -

KANGAR: Jabatan Pertanian Perlis memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi membekalkan 10 unit pam air kepada peserta projek kelompok padi bagi pemindahan dan agihan air ke petak sawah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, Jabatan Pertanian juga telah menaiktaraf sistem pengairan dan saliran. 

- Advertisement -

“Kerja menaik taraf termasuklah membina baharu, menyelenggara parit ladang sedia ada, membina pintu kawalan air dan membina serta memasang longkang konkrit.

“Jabatan Pertanian dan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan sering memaklumkan petani supaya menjaga sistem pengairan petak sawah bagi memastikan air ini dapat disalirkan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ketika menjawab soalan lisan dari Saad Seman (PN-Chuping), di sini, hari ini.

Menurut Razali,  Jabatan Pertanian telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan bekalan air di kawasan luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat diperbaiki dan ditingkatkan. 

“Berdasarkan rekod MADA tiada pesawah di kawasan itu yang terkesan akibat kemarau kerana aktiviti penanaman padi bagi musim 1/2023 belum dilaksanakan secara meluas. 

“Pembekalan air di petak sawah tidak menghadapi masalah dan situasi takungan air empangan juga masih berada dalam keadaan yang memuaskan, yakni lebih tinggi daripada paras terendah,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2023

- Advertisement -