
ALOR SETAR: Seramai 6,839 polis serta isteri di Kedah terlibat dalam proses pengundian awal hari ini yang membabitkan 38 saluran dan 21 pusat undi awal.
Jurucakap Media Pilihan Raya Negeri (PRN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kedah, SAC Alzafny Ahmad berkata, jumlah itu terdiri daripada 710 pegawai kanan dan 5,976 anggota.
Turut mengundi ialah 153 isteri kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 Kulim dan Bukit Kayu Hitam.
Menurutnya, seperti dilaporkan media tempatan di sini, sebanyak empat saluran dibuka di Pusat Pengundian Awal IPK Kedah melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Pokok Sena iaitu Derga, Bukit Pinang dan Bukit Lada.
Dalam pada itu, proses pengundian awal di Sekolah Kebangsaan Kem Lapangan Terbang Sungai Petani yang bermula 8 pagi ini berjalan lancar.
Sejumlah 4,755 anggota tentera dan pasangan mengundi awal di sekolah berkenaan.
Kedah mencatatkan jumlah pengundi awal seramai 1,366 (Langkawi), 34 (Jerlun), 2,559 (Kubang Pasu), 212 (Padang Terap), 2,318 (Pokok Sena), 659 (Alor Setar), 69 (Kuala Kedah) dan 211 (Pendang).
Sementara, Jerai (311), Sik (174), Merbok (5,249),Sungai Petani (185), Baling (352), Padang Serai (81 Kulim Bandar Baharu (1,516) dan melibatkan keseluruhan 15,296 pengundi. – HARAKAHDAILY 8/8/2023




















