
KOTA BHARU: Kehadiran begitu kerap Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan dibimbangi Pakatan Harapan (PH) boleh terlepas Selangor pada 12 Ogos ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, situasi itu tidak dapat dinafikan berdasar gelombang rakyat yang berlaku sekarang.
“Kita mengingatkan pemimpin tertinggi PH itu jangan terlalu memberi fokus kepada Kelantan sekiranya tidak mahu melihat Selangor tumbang.
“Kerajaan PH-BN harus berwaspada dengan gelombang penolakan melibatkan penyokong tegar parti itu sendiri yang semakin membimbangkan sekarang,” katanya pada sidang media di Pusat Media PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan di sini hari ini.
Semalam sekali lagi PM datang ke Kelantan selepas seminggu sebelum itu hadir pada program di Gua Musang dan Machang.
Mohd Amar juga berkata, PM memilih kawasan DUN majoriti pengundi kurang 3,000 undi termasuk Paloh, Galas, Kota Lama, Kemahang, Pulai Chondong serta Chetok ketika membantu kempen PH-BN di Kelantan.
Menurutnya DUN terbabit dianggap sebagai ‘tough fight’ PN sehingga ia menjadi tumpuan PM datang membantu kempen calon PH-BN.
“Sebaliknya saya melihat sokongan pengundi Cina di Gua Musang terhadap PN masih dalam keadaan normal biar pun didatangi pemimpin utama PH-BN.
“Gelombang rakyat didapati masih kuat, Dan kita berharap gelombang politik terus kekal sehingga hari mengundi,” katanya.
Kata beliau kedatangan PM dan pemimpin utama BN ke Gua Musang baru-baru ini memberi gambaran awal PN ada potensi mengusai DUN Galas, Nenggiri dan Paloh yang menjadi kubu Umno sebelum ini.
Menurutnya rakyat di DUN terbabit mempunyai potensi besar menyokong PN termasuk juga masyarakat Orang Asli dan penduduk Cina.
“Saya melihat potensi itu besar, dan tidak mustahil kita akan menang ketiga-tiga DUN itu.
“Kalau ikut pengalaman yang lepas, pengundi Orang Asli dan Cina hampir 200 orang menyokong kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2023




















