
PADANG TERAP: Walaupun beliau baru sahaja mengambil alih tugas sebagai Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Dato’ Suraya Yaacob yang meletakkan jawatan pada Oktober lepas, namun pelbagai pembaharuan yang dibuatnya.
Beliau yang merupakan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang, Munir @Mohamad Yusoff Zakaria berkata, antara projek besar yang memberi impak kepada rakyat Kedah ialah menaik taraf lima loji rawatan air.
“Saya diberi mandat bermula 10 November lepas jika dikira sampai ke hari ini lebih kurang sembilan bulan mengambil tempat Dato’ Suraya yang meletakkan jawatan tersebut.
“Portfolio yang diberikan agak berat dan kritikal kerana ia berkaitan pembangunan walaubagaimanapun saya tetap gagahi dengan niat untuk membantu pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamad Sanusi Md Nor,” katanya.
Menurutnya, di bawah pentadbiran Dato’ Seri Mohamad Sanusi beliau telah meneroka isu kritikal di Kedah iaitu berkaitan masalah bekalan air berjumlah RM931 juta.
“Sebelum ini projek telah ditangguhkan walaupun dokumen tender telah siap pada sebelum 2018 lagi, peruntukan pun sudah ada tetapi apabila kerajan PHBN yang mengambil alih ketika itu mereka mengkaji semula projek tersebut.
“Mereka lantik konsultan untuk membuat kajian rupanya apabila dikaji harga yang sama juga seperti yang dikaji oleh pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya lagi.
Oleh itu, ujarnya, selama 22 bulan projek demikian ditangguhkan sehingga kerajaan PN mengambil alih dan mengarahkan supaya tender dibuka.
“Lebih kurang bulan Julai tahun ini mulalah gerak kerja menaik taraf lima loji tersebut, alhamdulillah berjalan sehingga ke hari ini dan saya sentiasa mengambil maklum mengenai projek ini.
“Loji Rawatan Air (LRA) yang terlibat ialah di Pelubang, Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar Lama,” katanya.
Menurut beliau lagi, LRA di Pelubang dijangka siap pada Mei 2025; LRA Lubuk Buntal Lama pada Mei 2023; LRA Jenun Baru, Sungai Limau dan Bukit Selambau pada April 2024.
“Sungguhpun begitu, terdapat kelewatan atas faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2023




















