Kerajaan PN Perlis luluskan 113 pemberimilikan tanah 

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) negeri Perlis telah meluluskan sebanyak 113 pemberimilikan tanah tahun ini, yang meyaksikan enam hak milik tanah turut dikeluarkan kepada pemohon terlibat.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 107 lagi permohonan sedang dalam proses pendaftaran hak milik yang hanya boleh dilaksanakan selepas pemohon membuat bayaran penuh Notis 5A.

- Advertisement -

“Notis 5A yang dikeluarkan ini perlu dijelaskan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh notis bayaran disampaikan.

“Berdasarkan rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, sebanyak 360 Notis 5A yang dikeluarkan masih mempunyai bayaran tertunggak manakala sebanyak 101 Notis 5A masih belum dijelaskan.

“Menurut Akta 828 Kanun Tanah Negara, sekiranya bayaran tidak dijelaskan dalam tempoh ditetapkan, Notis 5A tersebut terbatal dan tanah berkenaan akan kembali berstatus tanah kerajaan serta boleh dibuka untuk permohonan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan oleh Saad Seman (PAS-Chuping) berkaitan jumlah terkini hak milik tanah yang telah diselesaikan kerajaan negeri bagi tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shukri  turut mengulas mengenai isu lot lidi di seluruh Perlis, iaitu dasar sedia ada di negeri ini sememangnya tidak membenarkan pecahan tanah lot lidi dilaksanakan dan bercanggah dengan peraturan digariskan dalam Kanun Tanah Negara (KTN).

“Sebagai makluman, pada tahun ini sahaja, PTG negeri secara proaktif mengesan dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas dua kes jualan lot lidi melibatkan tanah kerajaan di Batu Bertangkup, Chuping dan tanah individu di Alor Redis, Arau,” katanya. . – HARAKAHDAILY 8/8/2023

- Advertisement -