
DUBLIN: Pengebumian penyanyi dan aktivis tersohor Irish, Sinéad O’Connor disempurnakan mengikut pegangan agama Islam yang dianutinya sejak 2018 sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 26 Julai 2023.
Lebih 3,000 orang berkumpul di kampung halamannya, di Bray, County Wicklow, selatan Dublin pada hari ini, Selasa (8 Ogos) jam 10.30 pagi (waktu Ireland) atau 5.30 petang (waktu Malaysia) bagi memberi penghormatan terakhir terhadap pelantun lagu, Nothing Compares to U susulan kematian mengejutnya di London pada usia 56 tahun.
Ketua Imam di Pusat Islam Ireland, Syaikh Dr Umar Al-Qadri memberitahu MailOnline bahawa keluarga O’Connor mengadakan pengebumian bintang legenda itu mengikut cara Islam yang merupakan agama terakhir yang dianutinya, dan merujuk beliau dengan nama Islamnya, Shuhada Sadaqat.
Al-Qadri kemudiannya memberitahu agensi berita PA: “Pengebumian Sinéad jelas sekali adalah bersifat peribadi (untuk) keluarga dan ia adalah upacara yang sangat mengharukan; dan saya fikir ia benar-benar mencerminkan personaliti indah Sinéad.
“Ia penuh kerohanian dan mencerminkan identiti Irelandnya serta identiti Muslimnya. Jadi, saya bersama-sama ahli masyarakat Islam di Ireland dan kami menunaikan solat jenazah, iaitu solat jenazah untuk orang Islam ke atas Sinéad.”
Beliau juga memberitahu bahawa bahawa O’Connor ‘tidak pernah beranjak pegangannya daripada Tuhan (Allah SWT)’, tidak seperti orang lain yang mengalami ‘kesukaran dan ujian’ dalam hidup mereka.
“Dikurniakan vokal yang menggerakkan generasi muda, mampu membuatkan sesiapa yang mendengarnya mengalirkan air mata.
“Suara beliau dibawanya dengan nada penuh harapan, untuk mencari jalan pulang,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2023




















