
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus menjawab tuduhan mengenai isu unsur nadir bumi (REE) yang masih dipertikaikan Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, berdasarkan laporan siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), pada 26 September 2022, sebuah lori disyaki membawa bahan tanah mengandungi REE telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sik.
“Melalui siasatan awal PDRM (Polis DiRaja Malaysia) menyatakan bahan tersebut diambil daripada hutan simpan Bukit Enggang. Kemudian JPNK menahan pemandu lori dan lori yang mengandungi 185 guni yang disyaki bahan REE.
“Disita di stor sitaan rampasan di Jeniang. Susulan itu 27 September (esoknya) satu operasi bersepadu melibatkan JPNK, PDRM, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Tanah Daerah Sik, Jabatan Mineral dan Geosains (telah) membuat serbuan.
“Semakan ke kawasan disyaki REE diambil iaitu di Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang. Hasil serbuan dan semakan pasukan berjaya membuat sitaan pelbagai jentera, kenderaan dan peralatan perlombongan haram.
“Lanjutan itu, PTG dan JPNK telah buka kertas siasatan dan telah merujuk serta mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kedah,” terang beliau.
Sambungnya lagi, JPNK telah buka kertas siasatan atas kesalahan bagi kes perhutanan di bawah Seksyen 32(1), 47(1) dan 50(1), Seksyen 81(1)D dan Seksyen 81(1)E Enakmen Pemakaian Perhutanan 1985.
Hasil siasatan beritahunya, Timbalan Pendakwa Raya mengesyorkan JPNK mengeluarkan kompaun secara maksimum kepada penceroboh iaitu kepada subkontraktor syarikat Mahir Binari Sdn Bhd berjumlah RM130,000.
Katanya, kompaun yang dikenakan telah dibayar oleh individu tersebut pada 12 Oktober dan individu sama dikenakan kompaun maksimum oleh PTG RM500,000 di bawah enakmen diguna pakai oleh PTG.
Maklum beliau, bahan yang disyaki REE sebanyak 185 guni itu telah diserah kepada PTG untuk diambil tindakan di bawah Enakmen Mineral Negeri Kedah dan lanjutan daripada ini juga berlaku penahanan ataupun rampasan.
“(Iaitu) bahan-bahan yang telah dipindahkan Bukit Enggang ni di satu stor di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Ini diserbu oleh SPRM dan barang itu dirampas, dibawa balik ke PTG seberat 75 tan.
“Pada masa ini SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) memaklumkan, dia kata disyaki ada bahan ini telah naik kapal, telah berlayar pun. Saya tak tahulah banyak mana SPRM pun tak dapat kenal pasti.
“Saya kata siapa yang lepas? Dia kata yang lepas ini di pelabuhanlah – Kastam. Mungkinlah Kastam pun tak tahu lagi bahan itu apa. Mungkin depa (mereka) ‘declared’ (isytihar) bahan lain. Jadi bahan itu dah lepas.
“Jadi SPRM kata kalau kita nak ambil bantuan interpol untuk sekat kapal itu ataupun panggil balik kapal itu ke Malaysia, dia punya kos lebih tinggi daripada bahan yang kita nak siasat itu. Jadi SPRM berpandangan pada masa itu, yang itu kita tak perlu lagi.
“Kerana kos dia tinggi dan bahan yang dirampas itu boleh dijadikan bahan kes. Akhirnya barang itu dibida, dibuat pelupusan dan dibuat bidaan. Harga reserve yang kita check di harga pasaran ni kena check di Shanghai.
“Stock Exchange ke apa, komoditi di Shanghai lah pasal bahan-bahan ni dijual beli di sana. Harga pasaran untuk 75 tan itu RM2.69 juta lebih kurang. Jadi harga reserve dia letak banyak itulah.
“Akhirnya berapa ‘company’ masuk bida, harga tertinggi yang diperolehi ialah RM2.9 juta. Itulah harga bahan yang telah dirampas itu,” perinci beliau terhadap tindakan yang telah diambil tersebut.
Sambungnya lagi, susulan penemuan perlombongan haram tersebut, pihak JPNK menjalankan beberapa siri kawalan keselamatan serta pemantauan bermula 27 September sehingga 3 Disember 2022.
Pada 31 Januari 2023 katanya, pasukan rondaan dan pemantauan telah mengesan satu aktiviti yang mencurigakan di Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang hasil daripada maklumat awam.
Iaitu jelasnya, mendapati terdapat kemasukan pekerja-pekerja ke kawasan itu dan susulan tersebut, JPNK telah menubuhkan pasukan bersama Jabatan Imigresen Malaysia dan melaksanakan serbuan di kawasan disyaki.
“Hasil serbuan JPNK menahan 52 individu serta menyita sebanyak 37 jenis barang termasuk jentera peralatan, baja, bahan kimia. Dan 363 guni yang berisi bahan yang disyaki REE telah dipindah ke stor sitaan rampasan di Jeniang.
“Bagi memastikan tiada lagi aktiviti perlombongan haram di Kompartmen 12, JPNK telah menjalankan operasi pemusnahan bahan haram, struktur dan peralatan perlombongan bermula 7 hingga 16 Februari.
“Depa potong semua paip, depa bakar api, depa kambus hat mana hat lubang-lubang yang dikorek, diboring itu kecuali beberapa kolam besar yang perlukan jentera-jentera berat untuk ditimbus.
“Jadi semua struktur lain itu dah dimusnahkan oleh JPNK. Dan tak boleh buatlah perlombongan situ,” terang beliau lagi memperinci tindakan di kawasan perlombongan haram dalam hutan simpan tersebut.
Tambahnya lagi, berhubung kes tangkapan 52 individu dan sita jentera, peralatan dan bahan yang disyaki, JPNK membuka kertas siasatan untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.
Walau bagaimanapun katanya, JPNK dinasihat untuk merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya di Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) di Kuala Lumpur.
Beritahu Sanusi, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan telah dapat arahan, tuduh di bawah Seksyen 47(1) Enakmen Negara 1985 pada 30 Mac 2023 di mana pada 25 Jun lalu hukuman telah dijatuhkan.
“Mahkamah Seksyen Baling telah menjatuhkan hukuman kepada semua tertuduh seperti berikut. Lima warga tempatan termasuk Ho Chu Meng iaitu subkontraktor, syarikat Mahir Binari Sdn Bhd dan dua warga China telah didenda RM5,000 setiap seorang.
“Saya dimaklumkan mereka ini ditahan di bawah SOSMA, 31 individu warga Myanmar dan dua individu warga Nepal telah dijatuh hukuman penjara enam bulan. Selebihnya telah dibuat pengusiran oleh Jabatan Imigresen Malaysia, balik ke negara masing-masing.
“Jadi tindakan susulan JPNK telah mengunci tiga pagar di laluan utama bagi mencegah perlombongan haram, berulang. Walau bagaimanapun pagar ini akan dibuka sekiranya terdapat permohonan daripada agensi-agensi penguat kuasa lain bagi menjalankan apa-apa siasatan lanjut.
“JPNK bekerjasama dengan Ibu Pejabat JPSM untuk membuat pemantauan melalui IMEI satelit bagi mengesan pembukaan kawasan baharu dalam hutan simpan kekal di seluruh negeri,” ujarnya.
Katanya, Jabatan Perhutanan bersama lain-lain agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Mineral dan Geosains,PDRM dan PTG telah menubuhkan pasukan khas bagi melaksanakan pemantauan berkala.
Iaitu menurutnya, di kawasan yang dikenal pasti ‘hot spot’ perlombongan haram REE, selain perkongsian maklumat agensi-agensi penguat kuasa akan diperkasakan dalam menangani isu perlombongan REE.
“Kesimpulan daripada JPNK ialah menerusi aktiviti penguatkuasaan yang berterusan dan pemusnahan peralatan-peralatan perlombongan haram, aktiviti perlombongan haram REE dalam Kompartmen 12 Bukit Enggang telah lumpuh sepenuhnya.
“Walau bagaimanapun, JPNK bersama lain-lain agensi penguat kuasa akan terus mengadakan rondaan dan pemantauan secara berkala di kawasan hotspot perlombongan REE terutama dalam kawasan hutan simpan di seluruh negeri Kedah.
“Saya rasa ini kerja-kerja jabatan yang telah menyelesaikan isu kecurian ni,” ujarnya menyifatkan tindakan Saifuddin terus menyerang isu telah selesai itu sebagai kejahatan dan untuk mencalarkan imej beliau. – HARAKAHDAILY 7/8/2023


























