
KUALA LUMPUR: Rakyat boleh menilai sendiri pendekatan dan dasar yang diambil oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bachok dari PAS, Syahir Sulaiman, khususnya terhadap ekonomi negara dan rakyat.
Syahir dalam kenyataannya kepada HarakahDaily pada hari ini (7 Ogos) berkata demikian ketika mengulas mengenai debat ekonomi berjudul, Model Baru Ekonomi Malaysia yang bakal berlangsung pada Rabu (9 Ogos) ini antara dirinya selaku pemimpin muda PERIKATAN NASIONAL (PN) dengan ‘orang kuat’ Pakatan Harapan (PH) dari parti PKR itu.
“Sila nilai dan bandingkan setiap hujah dengan rasional,” pesan beliau kepada orang ramai yang bakal mengikuti debat berkenaan.
Debat tersebut akan disiarkan secara langsung pada jam 9.30 malam di saluran RTM dan Astro Awani, serta boleh diikuti secara atas talian melalui aplikasi RTM Klik dan aplikasi Astro GO.
“Debat ini bermula dengan cabaran daripada Rafizi Ramli. Mulanya saya menolak jemputan tersebut, namun setelah mendapat persetujuan daripada pucuk pimpinan, saya terima jemputan ini untuk berkongsi visi dan misi bagi memulihkan ekonomi negara,” tegas Syahir ketika dihubungi HarakahDaily.
“Insya-Allah, saya akan berhujah berdasarkan fakta dan realiti yang dihadapi oleh rakyat dan peniaga,” tambahnya.
Menyentuh tentang persediaan sebelum muncul dalam debat berkenaan, beliau berkata, bahan-bahan sudah tersedia.
“Ramai kawan-kawan dan pihak luar yang telah berkongsi bahan sebagai persiapan tambahan. Paling saya ingat ialah pesanan Tuan Guru Ayah Chik (Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) semalam, ucap beliau: ‘Selamat berdebat. Kita masuk dengan tenang insya-Allah’,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2023




















