KKN ditentang dahulu, kini subur dalam PKR – Sanusi

- Advertisement -

JERAI: Korupsi, kronisme dan nepotisme atau dikenali dengan singkatan KKN yang pernah dijadikan penentangan diperjuangkan oleh PKR, namun semua itu sedang berlaku di dalam parti tersebut.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, istilah dipopularkan dalam politik Malaysia sejak tahun 1999 itu sebenarnya diambil pemimpin parti tersebut daripada Indonesia.

“(Iaitu) Bila rejim Suharto ditumbangkan, maka reformasi di Indonesia itu mengistilahkan sepanjang 32 tahun memerintah itu telah mengamalkan KKN. Korupsi ini rasuah, kronisme itu kawan-kawan. Nepotisma kaum kerabat, adik-beradik, anak-beranak. 

“Jadi itulah yang menjadi popular dalam parti PKN masa itu tak ada PKR lagi. Kemudian itu baru bergabung dengan PRM jadi PKR yang ada sekarang inilah,” ujarnya pada Santai Petang Bersama Panglima dan Kapten BB7 di Medan Gurun Jaya, di sini semalam.

Tetapi kini ujarnya, KKN tersebut paling subur dalam parti itu di mana Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail serta anak mereka, Nurul Izzah melengkapkan nepotisme dengan memegang jawatan dalam politik PKR.

Di Kedah pula menurutnya, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan dua anaknya iaitu Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq dan seorang lagi sedang bertanding sebagai calon PKR N.22 Gurun, Firdaus.

“Kalau orang lain buat kerja ni, depa akan hentam betul, ni nepotisme. Hangpa kira adik-beradik hangpa je, nak jadi pemimpin, nak jadi wakil apa semua ni, hangpa nak adik-beradik hangpa. Orang lain tak boleh, hangpa boleh.

“Dia (Firdaus) kena sabar sat. Bagi pak dia (Johari) berhenti (jawatan politik) dulu lepas itu ganti dia, tak berapa nampak sangat kan? Ini sekali semua sekali jadi wakil rakyat. Tak ada orang lainkah dalam PKR ini?

“Kita berhentikanlah budaya berhimpun anak-beranak dalam politik ini sekali gus. Depa yang mempopularkan KKN itu. Bukan orang lain, kita tak sebut apa pun. Kalau dari segi nak nak berperang, nak apa bolehlah kan?

“Tapi bila hang jadi kerajaan, jadi nak menghimpunkan kekuasaan dalam satu family, family Anwar, family Johari, family siapa-siapa lagi, itu tak sesuailah bagi saya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -