
KUBANG PASU: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu bahawa pentadbirannya kini sedang menanggung dosa, kesilapan dan masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.
Menurut beliau, antara sedang diselesaikan di mana begitu mengganggu dan menyebabkan rasa kecamuk emosinya adalah berkenaan permohonan geran tanah dan hutang-hutang yang dibuat sebelum ini.
Ceritanya, ada yang hadir menerima serahan geran pemilikan itu dengan berkerusi roda kerana sudah terlalu tua dan uzur, sedangkan semasa memohon dahulu masih anak dara atau baru beranak kecil.
Turut ditemuinya adalah permohonan yang berusia 52 tahun di Langkawi, selain terlalu banyak telah memohon melebihi 30 dan 40 tahun, tetapi tidak juga menerima kelulusan geran di bawah kerajaan-kerajaan sebelum ini.
Beliau menyifatkan kerajaan-kerajaan sebelum ini diterajui para pemimpin yang mati jiwanya, tanpa mempunyai perasaan kepada kesusahan rakyat, sedangkan jasad mereka hidup bagi kepentingan lain.
“Di Padang Terap ada 6,000 fail lagi tak proses yang sedang proses. Paya Serdang ada 500 permohonan lebih. Kita dah bagi geran 200 lebih baru ni, ada 200 lebih lagi. Di Langkawi dah bagi 105, ada 245 lagi. Itu untuk empat kampung, ada lagi.
“Orang-orang ni yang telah memberi laluan kepada pembangunan pelancongan, hotel, kedai, pindah daripada bandar pergi ke tepi-tepi hutan, teroka bina semula kampung. Duduk situ, mohon geran tak dapat.
“Sampailah 40 tahun, yang dapat baru ketar tangan nak sua. Sebahagiannya dah mati dah. Yang mai terima tu anak. Ni (berpunca dari) pemimpin-pemimpin kita dulu, sebahagiannya dah meninggal kita mohon Allah ampunkan depa (mereka).
“Sebahagiannya masih hidup dan menawarkan sekali lagi khidmat untuk dia mai jadi pemimpin rakyat Kedah. Orang lagu (macam) ni dalam BN (Barisan Nasional) dalam PH (Pakatan Harapan) kena tolak.
“Jangan bagi muka dah, berhentilah memilih BN, berhenti memilih PH. Hanya ada pilihan Perikatan Nasional (PN) sahaja,” serunya pada Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra, di sini semalam.
Menurut Sanusi, beliau juga telah meminta semua Pegawai Daerah untuk memastikan rakyat di negeri ini mempunyai tanah atau tapak rumah, termasuk mendapatkan tanah kerajaan untuk dipecah lot bagi tujuan itu.
Jelasnya, setiap lot dipecahkan antara 3,000 hingga 4,000 kaki untuk diberikan geran oleh kerajaan terutama rakyat yang susah tanpa mengira mereka tinggal di pekan atau perkampunga.
Beliau mengakui terdapat rakyat yang susah bertambah sukar untuk memohon bantuan rumah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat atau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah kerana tiada geran tanah.
Malah ceritanya lagi, ada yang susah kerana tanah diambil, menyebabkan mereka terpaksa menumpang di tanah orang atau adik-beradik mahupun tanah pusaka kerana tidak memiliki tanah sendiri.
Tambah Sanusi, sepanjang tiga tahun pentadbirannya, beliau telah membuktikan kewangan kerajaan negeri berada pada kedudukan paling stabil dalam sejarah pemerintahan berbanding sebelum-sebelum ini.
Dedah beliau, ada pentadbiran terdahulu yang membuat hutang dengan Kerajaan Persekutuan kerana tidak mampu membayar gaji kakitangan dan pegawai perkhidmatan awam negeri.
“Depa pi hutang Putrajaya RM200 juta. Saya bayar setahun RM29 juta, tahun ni last akan selesailah hutang itu walaupun yang buat itu orang lain. Pelabur juga tiga tahun (ini) masuk RM91 bilion ke Kedah ni.
“Suku pertama tahun ni RM5 bilion. Kita yakin dengan persiapan yang kita tengah buat engagement dengan pelabur-pelabur, kita akan cecah lebih pada RM10 bilion. Hutang tak ada, hutang dulu kita bayar, hutang baru tak buat.
“Dosa baru tak buat, dosa lama kita cuci. Ha… ni kerajaan kita ni. Hangpa (kamu semua) nak tara (seperti) mana lagi?” tanya beliau kepada ribuan hadirin yang membanjiri dataran itu. – HARAKAHDAILY 3/8/2023




















