
DUNGUN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hapandi Wan Nik menjangkakan pengundi Umno akan menyokong calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini di Dun itu.
Ini, katanya ditambah dengan Umno tidak meletakkan calon di Dun Sura pada PRN ini sebaliknya diganti dengan calon Pakatan Harapan (PH).
“Rasanya sebahagian daripada pengundi-pengundi Umno itu sendiri yang tidak berpuas hati dengan suasana politik Umno sekarang ini, kita mengharapkan sebahagian daripada pengundi itu akan beralih sokongan kepada PAS bersama PERIKATAN NASIONAL,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.
Beliau juga melahirkan keyakinan calon PAS kali ini, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi akan mendapat sokongan masyarakat di Dun Sura.
Menurutnya, berdasarkan keputusan PRU14, Dun Sura boleh dianggap sebagai kubu PAS kerana mendapat majoriti yang kedua terbanyak selepas Wakaf Mempelam.
Untuk rekod, beliau memenangi kerusi Dun Sura dengan majoriti 7,162 undi sementara calon PAS di Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah menang dengan majoriti 7,378 undi.
Pada PRU13, Wan Hapandi yang pertama kali bertanding memperoleh 8,952 undi dan menang dengan majoriti 2,957 undi.
Beliau yang membahasakan dirinya dengan panggilan Cikgu sememangnya berhasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Dun berkenaan dengan diberi peluang kepada calon pengganti yang lebih muda.
Katanya, orang muda mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal dan mental supaya dapat meneruskan legasi yang telah diwarisi daripada Allahyarham Ustaz Omar Shukri, diikuti Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli yang kini adalah Ahli Parlimen Dungun.
“Jadi cikgu sangat yakin insya-Allah dalam usaha yang telah kita buat, sebab kita jemaah Islam ini bukan bekerja untuk pilihan raya sahaja, kita sudah bermula masa kita kalah, lepas kita menang kita tidak putus-putus bersama dengan masyarakat dengan berbagai inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan sendiri.
“Kita mendekati masyarakat dan alhamdulillah rasanya masyarakat menerima segala program-program kita dan cikgu yakinlah insya-Allah dengan calon muda ini.
“Cikgu pun sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada calon muda ini untuk terus melakar kejayaan yang lebih cemerlang dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini, insya-Allah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera di peringkat Dun sama ada Pemuda, Muslimat, Ulamak, Ameerah dan ahli jawatankuasa Dun.
“Tidak ada krisis isu yang boleh melemahkan gerak kerja kita, dan itu sebenarnya kekuatan yang ada di DUN Sura ini,
“Sepanjang cikgu berkhidmat dengan tenaga-tenaga ini, alhamdulillah mereka sangat komited, istiqamah dalam memberikan kerjasama,” katanya.
Katanya, berdasarkan sepanjang penelitian kepada penduduk di Dun Sura, mereka sangat mengharapkan calon PAS berjaya dalam PRN kali ini.
Beliau juga berharap rakyat di negeri ini akan terus memberi kepercayaan kepada PAS dan PN untuk mentadbir negeri selepas PRN pada 12 Ogos ini.
“Kita harapkan seluruh rakyat Terengganu akan terus memberikan kepercayaan, keyakinan kepada kerajaan PAS kerana kerajaan kita telah membuktikan satu bentuk pentadbiran yang baik di negeri kita, fokus utama kerajaan kita ialah memberikan kecaknaan, kebajikan kepada rakyat.
“Alhamdulillah cikgu rasa sebahagian besar masyarakat akan bersama dengan gelombang kebangkitan ini untuk terus mengekalkan kerajaan yang ada pada hari ini untuk penggal kedua dan insya-Allah untuk penggal yang akan datang,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/8/2023




















