
BERSUNGGUH Perdana Menteri ke-10 (PMX) mempertahankan DAP. Sebelum ini Presiden Umno juga begitu.
Mengapa? Pasti ramai curiga dan bimbang pada DAP jika tidak masakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri perlu bersusah membela parti yang berpengaruh dalam Kerajaan Campuran ini.
Ada yang bermain di media sosial hari ini – undi BN dapat DAP, undi PH dapat DAP, kenapa begitu?
Jika benar DAP tidak halang peruntukan untuk Melayu Islam sebagaimana dakwa Anwar, yang jelas rakyat pernah lihat semasa pembentangan Rang Undang-undang Persendirian RUU355 dulu, iaitu RUU untuk memperkasa dan menambahbaik Mahkamah Syariah, tokoh-tokoh DAP lantang bangkit menentang. (Rakyat lihat sidang ini secara langsung)
Kenapa ganggu hak orang Islam? Undang-undang Syariah dalam negara hanya terpakai pada umat Islam, biarlah umat Islam yang tentukan kenapa pula DAP yang perlu menggelupur?
DAP pernah anggap hak menukar agama itu sebagai hak asasi yang perlu diberikan pada rakyat berjuang agar murtad menjadi satu kebebasan. Tidakkah itu satu ancaman pada umat Islam?
Wakil DAP pernah merayu agar negara iktiraf Regim Haram Israel.
DAP antara yang lantang menentang pembelajaran tulisan Jawi atas dakwaan konon ia usaha untuk menyebarkan Islam. Sedang tulisan Jawi adalah warisan budaya negara kita.
Perlembagaan DAP menyebut partinya berjuang untuk mempertahan Perlembagaan Persekutuan yang sekular (Google sekular dan anda dapat – Sekular adalah konsep bahawa kerajaan atau entiti lain harus wujud secara terasing dari agama). Bermakna DAP berjuang untuk memisahkan urusan agama dari kerajaan, tidak membimbangkankah itu?
Kita yakin politik Malaysia sudah matang dan dewasa. Para pengundi khasnya orang Melayu Islam sudah kenal DAP walau apa Anwar dan Zahid kata.
Undi BN dapat DAP,
Undi PH dapat DAP.
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 2/8/2023




















