Agensi penguat kuasa patut siasat, bukan jadi hakim

Dinasihat jaga wibawa dan keyakinan semua pihak kepada institusi

- Advertisement -

PADANG TERAP: Agensi penguat kuasa seharusnya sentiasa menjaga kewibawaan dan keyakinan semua pihak kepada institusi mereka, demikian nasihat Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, apabila menerima aduan berkenaan sesuatu perkara, tanggungjawab agensi penguat kuasa adalah untuk melaksanakan siasatan dan bukannya membuat keputusan atau menjadi hakim.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu dipercayai merujuk kepada reaksi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Perikatan Nasional N.08 Pedu di Pekan Naka, di sini semalam.

“Jangan terus buat kenyataan bahawa kenyataan (Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi di) Terengganu tidak salah, tidak bercanggah dengan pilihan Akta Pilihan Raya. Tanggungjawab agensi penyiasat bila ada laporan siasat dulu. Serah (hasil) siasatan kepada Peguam Negara untuk diteliti. 

“(Sekiranya) Ada kes bawa ke mahkamah. Mahkamah yang putus bersalah atau tidak. Tapi kalau awal-awal lagi dah buat kenyataan bahawa ucapan ini tidak salah. Orang mula banding. Sebab tugas penguat kuasa ialah menyiasat, bukan jadi hakim.

“Orang banding, bila Kelantan, kerajaan negeri sediakan bas untuk bawa balik pengundi daripada Kuala Lumpur, pergi mengundi, tiba-tiba tak boleh. Kerana (dikatakan) bercanggah dengan Akta Pilihan Raya takut ada nilai rasuah. 

“Yang Zahid, berucap di Terengganu, terang-terang. Ya, mengaitkan pengundian pada 12 hari bulan (Ogos). Tiba-tiba tak bersalah. Rakyat melihat penguat kuasa sekarang dah mula nak jadi hakim,” ujarnya.

Tegas beliau, sesiapapun menjadi kerajaan, agensi penguat kuasa sepatutnya tetap kekal dengan ketetapan tugas, termasuk sebarang kerjaya rakyat tidak harus diganggu ubah oleh kerajaan pemerintah. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -