Zoo China nafi beruang Malaysia manusia

Tangkapan layar daripada video Douyin menunjukkan seekor beruang matahari berdiri menggunakan kaki belakangnya di Zoo Hangzhou, China. (FOTO: Douyin/xiaotongtong, weChat/Hangzhou Zoo)
- Advertisement -

BEIJING: Sebuah zoo di timur China menafikan dakwaan dan telahan bahawa beberapa ekor beruang matahari yang dipelihara di situ sebenarnya ialah manusia yang menyarung kostum haiwan tersebut, susulan gambar  beruang berkenaan yang berdiri seperti manusia dalam dalam media sosial.

Jurucakap Zoo Hangzhou dalam kenyataan di media sosialnya  berkata, beruang matahari berkenaan berasal dari Malaysia memiliki saiz yang lebih kecil dan secara fizikalnya kelihatan berbeza  berbanding beruang dari  negara lain, lapor Hangzhou Daily.

- Advertisement -

“Sesetengah orang fikir ‘saya’ berdiri seperti manusia,” ujar kenyataan tersebut yang ditulis dari sudut pandangan beruang itu. 

“Nampaknya anda tidak begitu memahami ‘saya’,” tambah kenyataan itu.

Seorang pekerja zoo berkenaan yang menjawab panggilan telefon Hangzhou Daily bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen mengenai beruang itu tetapi berkata lawatan sedang diatur untuk wartawan melihat haiwan berkenaan.

Pengguna Internet sebelum ini mempersoalkan sama ada beruang di zoo itu benar-benar haiwan selepas foto tersebar menunjukkan seekor beruang berdiri tegak dengan kaki belakang yang langsing.

Beruang matahari boleh berdiri setinggi 1.3 meter (4 kaki 3 inci). (FOTO: Douyin/xiaotongtong, weChat/Hangzhou Zoo)

“Oleh kerana cara beruang itu berdiri kelihatan mirip kaki manusia, sesetengah netizen mempersoalkan sama ada beruang itu adalah ‘manusia yang menyamar’ dalam kostum haiwan berkenaan,” tambah laporan Hangzhou Daily.

Zoo berkenaan menambah bahawa beruang matahari adalah sama saiz dengan anjing besar, berdiri paling tinggi 1.3 meter (4 kaki 3 inci) pada kaki belakang mereka, berbanding ketinggian sehingga 2.8m (9 kaki 2 inci) untuk beruang spesies grizzlies dan spesies beruang lain.

Terdahulu, Zoo lain di China telah dituduh mempamerkan anjing yang ‘dicelup’ supaya kelihatan seperti serigala atau kucing Afrika; dan keldai yang dicat supaya ia kelihatan seperti kuda belang. – HARAKAHDAILY 1/8/2023

- Advertisement -