Peluang PN menang cerah, tingkatkan usaha – DS RINA

Rina akui wujud golongan yang tidak mahu mempercayai mana-mana pihak (parti) politik. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang bakal diadakan menjelang 12 Ogos ini telah meyaksikan PERIKATAN NASIONAL meletakkan 56 calon yang akan bertanding di negeri Selangor, diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. 

- Advertisement -

Daripada 56 calon tersebut, tujuh daripadanya ialah calon wanita terdiri daripada Timbalan Ketua Wanita PN Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan bagi  Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, Sharifah Haslizah Syed Ariffin (DUN Lembah Jaya), Nurul Syazwani Noh (DUN Permatang), Sasha Lyna Abdul Latif (DUN Bukit Antarabangsa).

Turut dicalonkan ialah Chin Yoke Kheng (DUN Kampung Tunku), Muniraa Abu Bakar (Bukit Lanjan), dan mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (DUN Batu Tiga).

Berpeluang menemu bual DS Rina  di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, ikuti wawancara wartawan HarakahDaily, IKMAL EMIR dengan mantan Ahli Parlimen Titiwangsa ini yang bakal  bertanding menentang calon PH-Amanah, Danial Al Rasyid pada PRN 2023 kelak.

Menegaskan bahawa pengundi parti politik zaman sekarang ini tidak boleh dipermain-mainkan, Rina memandangkan tinggi akan peranan mereka terhadap jatuh bangun sesebuah kerajaan yang memerintah.

HARAKAHDAILY: Sejauh manakah persiapan Perikatan Nasional (BERSATU) dalam menghadapi PRN kali ini?

DS RINA: Kami memberikan yang paling terbaik kali ini. Kami meningkatkan usaha kami berkali-kali ganda lebih gigih berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk memastikan kemenangan. 

Apakah kebarangkalian (peluang) untuk Perikatan Nasional dalam memenangi PRN ini?

Insya-Allah, walaupun landskap politik kita berbeza sejurus PRU15, dan pesaing kita telah bersama, kita lihat rakyat inginkan perubahan di Peringkat Negeri dan peluang kita agak cerah.  Cuma kita kena pertingkatkan usaha kita. 

Sekiranya PN menang dalam PRN kali ini, adakah PN benar-benar akan mengotakan janji untuk membantu memulihkan ekonomi rakyat? Apakah jaminan untuk rakyat bahawa PN melakukan sedemikian?

Insya-Allah. PN akan mengotakan janji untuk membantu memulihkan ekonomi rakyat di negeri- negeri yang kita menang. Sudah pasti banyak inisiatif boleh dilaksanakan di peringkat negeri. 

Jaminan yang kami akan buat sebaik mungkin itu adalah kesedaran kami dengan apa yang rakyat akan buat terhadap kami jika kami gagal.  

Kita boleh tengok bagaimana selepas PRU15, penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan menjadi tidak gembira dengan parti yang mereka sokong kerana hampa; dan mereka dengan secara terbuka menyatakan undi mereka akan diberikan kepada PN kali ini.  

Itu jelas dan nyata pengundi zaman sekarang bukan boleh dipermain-mainkan kerana mereka tidak takut dan tidak beragak-agak akan menghukum siapa sahaja yang mereka undi. 

Sekiranya ditakdirkan menang dalam PRN 2023 kelak, Rina menegaskan beliau menyediakan kerangka dan hala tuju yang jelas buat DUN Batu Tiga, Selangor.

Ada sesetengah golongan tidak mahu mempercayai mana-mana pihak (parti) politik. Bagaimanakah PN mahu meyakinkan pihak sedemikian?

Ya, golongan ini wujud. Sebab itu, kempen kita kena sasarkan golongan ini. Kita kena educate mereka, kenapa mereka perlu keluar mengundi dan membuat pilihan. Kita kena sediakan manifesto yang boleh diterima akal dan achievable

Apakah pesanan utama DS Rina untuk penyokong  pada masa ini dalam kempen PRN kelak?

Adalah amat penting untuk kita membuat perubahan yang positif pada 12 Ogos ini dengan mengundi Perikatan Nasional.  Semua penyokong kena turut menjadi ejen perubahan ini.  Penyokong kita kena ambil langkah proaktif untuk menambah undi untuk kita. Kita kena perhebatkan kempen kita dan tingkatkan kebarangkalian untuk kita menang. 

Sekiranya DS Rina menang dalam PRN ini, apakah perkara pertama yang akan DS lakukan?

Saya akan tanpa berlengah lagi, memulakan langkah untuk meningkatkan kualiti kehidupan warga Batu Tiga. Kami akan sediakan kerangka dan hala tuju yang jelas untuk Batu Tiga. 

Pada masa sekarang iaitu ketika ekonomi semakin dalam krisis, bagaimana DS Rina ingin membetulkan keadaan rakyat pada masa ini?

Sekarang ini apa yang paling penting ialah memastikan tidak ada rakyat yang tercicir dari segi kebajikan. Itu langkah yang segera. Sementara itu untuk langkah panjang kita kena laksanakan inisiatif yang boleh membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan mengawal kos sara hidup. 

Bagaimana DS Rina mahu meyakinkan rakyat (pengundi) beliau bahawa DS merupakan seorang yang ‘walk the talk’ dalam melaksanakan dengan cepat tugasan, khususnya di DUN yang DS wakili?

Saya kena beritahu warga Batu Tiga mengenai track record saya yang baik ketika menjadi Menteri. Apa yang saya janjikan saya kotakan. 

Jika anda semak, antara kejayaan saya ialah berjaya mewujudkan RUU Antigangguan Seksual 2021 yang sudah 11 tahun terperam. Bantuan kepada OKU yang tinggi dan mampu menangani kenaikan kos sara hidup dan banyak lagi. 

Paling penting ialah pengalaman saya semakin mendewasakan diri saya dan menjadikan saya pemimpin yang lebih baik pada masa akan datang, insya-Allah. – HARAKAHDAILY 1/8/2023

- Advertisement -