
SANDAKAN: Seramai 29 orang pelajar Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Imam Al-Bukhari telah mengikuti program Kem Kepimpinan Pelajar di Scout Nature Park, Sandakan baru-baru ini.
Program selama tiga hari itu bertujuan untuk membina bakat kepimpinan dalam diri pelajar sebagai seorang pemimpin.
Pengerusi SRITI Imam Al-Bukhari, Rijaluddin Ansar berkata penganjuran program ini dapat memberi pendedahan awal kepada anak-anak menjadi pemimpin negara yang lebih besar.
“Saidina Ali pernah berkata, jika kamu ingin lihat masa depan sesebuah negara, lihatlah anak mudanya pada hari ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis penutupan program tersebut.
“Bukan sahaja soal menjadi pemimpin, anak-anak juga dapat bersedia menjadi wakil sekolah ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.
Turut hadir ialah Guru Besar SRITI Imam Al-Bukhari, Norizam Russin, Pengerusi JIBG, Masru Mustaqeem serta beberapa Ahli Lembaga Pengurusan Sekolah.
Dalam pada itu, Rijaluddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pengurusan sekolah atas penganjuran program yang mendatangkan manfaat buat pelajar SRITI.
“Tahniah buat semua, semoga program ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya. . – HARAKAHDAILY 1/8/2023




















