
KUALA LUMPUR: Calon-calon yang ditampilkan adalah atas faktor boleh menang sebagai persediaan untuk kemenangan.
Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, penting untuk meletakkan calon-calon yang berwibawa dan berkeupayaan untuk menguruskan sesebuah negeri.
Beliau mengulas tentang calon-calon PAS yang diumumkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini atas tiket PERIKATAN NASIONAL (PN).
Beliau mengulas tentang calon-calon PAS yang diumumkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini atas tiket PERIKATAN NASIONAL (PN).
“PAS telah menggariskan beberapa panduan yang jelas untuk memilih calon-calon yang sesuai bagi bertanding untuk PERIKATAN NASIONAL, di enam negeri yang terlibat dalam PRN, khususnya negeri Kedah.
“Kita (Pas Pusat) memang mempersiapkan, barisan kepimpinan yang menang nanti dapat menguruskan negeri Kedah, khasnya dari sudut bagaimana ingin membangunkan ekonomi, sosial, kemasyarakatan, menguruskan kebajikan dan hal-ehwal agama, memberikan kefahaman yang baik kepada wanitanya. Jadi, kita memerlukan pemimpin-pemimpin daripada pelbagai latar belakang untuk kita ketengahkan sebagai calon,” tegasnya.
Menurut beliau lagi, walaupun PAS kawasan diberi peluang untuk mencalonkan nama-nama dari kawasan masing-masing, tetapi sebenarnya penapisan di peringkat lebih tinggi adalah sangat perlu supaya memastikan barisan kepimpinan yang dicalonkan itu berkeupayaan untuk menguruskan negeri jika ditakdirkan menang pemilihan.
“Dalam pilihan raya, sebenarnya dari peringkat awal, kita memang memberikan peluang kepada PAS kawasan-kawasan untuk mencalonkan calon-calon daripada kawasan.
“Namun tidak semestinya calon-calon pilihan kawasan itu akan diterima. Perkara ini sebenarnya mengikut langkah demi langkah). Bermula daripada kawasan, (kemudian) kawasan akan dibawa kepada negeri, negeri akan dibawa kepada pusat, dan ia kemudian akan melalui proses Majlis Syura (Ulama PAS).”
“Jadi, dalam keadaan sekarang ini, kita akan memastikan barisan calon-calon kita ini bukan sahaja daripada kalangan ustaz (sahaja), kita nak kepelbagaian.
“Sebab ini yang orang kata boleh meyakinkan rakyat. Sebab sekarang ni, rakyat dah pandai memilih. Rakyat dah pandai memilih bukan sekadar pada parti sahaja,” jelas beliau kepada HarakahDaily.
Dr Najihatussalehah juga mengulas tentang kemampuan kerajaan negeri Kedah untuk memajukan sektor ekonomi walaupun mendapat dukungan dan bantuan yang terhad daripada kerajaan pusat, sejak pembentukan kerajaan perpaduan, November 2022 lalu.
“Perancangan-perancangan kerajaan negeri Kedah merupakan bukti bahawa kerajaan semasa serius dalam membangunkan ekonomi negeri Kedah.
“Walaupun pada hari ini kerajaan pusat dipimpin oleh PH dan BN, tapi bila tengok bagaimana keupayaannya walaupun tanpa bantuan sepenuhnya oleh kerajaan PH-BN, dari tempoh bulan November 2022 hingga ke hari ini, kerajaan Kedah masih berupaya untuk menguruskan negeri, dengan pelbagai planning yang hendak dilaksanakan, walaupun tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan pusat.
“Jadi, sudah semestinya, rakyat negeri Kedah, melihat itu satu keupayaan yang sangat baik, untuk dikekalkan,” katanya.
Berikut senarai calob-calon PAS yang bertanding atas tiket PERIKATAN NASIONAL di Selangor dalam PRN 2023 12 Ogos ini:
N.02 Sabak (Sallehen Mukhyi)
N.03 Sungai Panjang (Mohd Razali Saar)
N.05 Hulu Bernam (Mu’izzuddeen Mahyuddin)
N.08 Sungai Burong (Mohd Zamri Mohd Zainuldin)
N.11 Ijok (Jefri Mejan)
N.15 Taman Templer (Zaidy Abdul Talib)
N.16 Sungai Tua (Muhammad Hanif Jamaluddin)
N.20 Lembah Jaya (Sharifah Haslizah Syed Ariffin)
N.24 Semenyih (Nushi Mahfodz)
N.26 Sungai Ramal (Mohd Shafie Ngah)
N.32 Seri Setia (Mohd Zubir Embong)
N.38 Paya Jaras Ab Halim Bin Tamuri
N.40 Kota Anggerik (Mohamed Sukri Omar)
N.43 Sementa (Noor Najhan Mohamad Salleh)
N.46 Pelabuhan Klang (Wan Hasrina Wan Hassan)
N.51 Sijangkang (Ahmad Yunus Hairi)
N.54 Tanjong Sepat (Sabirin Marsono)
– HARAKAHDAILY 31/7/2023




















