Borang ahli PAS umpama ‘pisang goreng panas’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Borang keahlian PAS semakin mendapat sambutan menggalakkan seumpama ‘pisang goreng panas’ selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung dalam Kerajaan Madani.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ahli Umno di peringkat akar umbi tidak mahu menanggung beban yang terpaksa dipikul akibat pembohongan pemimpin utama mereka.

- Advertisement -

Katanya, mereka keliru sumpah menggunakan nama Allah untuk tidak mengadakan kerjasama dengan DAP dan PKR yang kini dilanggar pemimpin Umno.

“Di Rantau Panjang baru-baru ini, lebih 400 ahli Umno sertai PAS, di DUN Salor sehari dua lagi lebih 200 ahli Umno juga akan masuk PAS.

“Saya tanya mereka kenapa sanggup keluar Umno, mereka beritahu kena tipu oleh tauke Umno,” katanya pada majlis pengenalan calon di Wisma Tok Guru dekat sini, malam tadi.

Hadir sama calon DUN Salor, Saizol Ismail; DUN Pasir Tumboh, Ustaz Abdul Rahman Yunus dan DUN Demit, Ustaz Mohd Asri Mat Daud. Turut hadir Setiausaha PAS Kubang Kerian, Mohd Nuri Yaakob.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Umno suatu ketika dahulu menjuarai setiap pilihan raya umum yang diadakan, namun sekarang terpaksa menumpang PH.

Menurutnya, situasi itu dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekarang apabila Umno hanya diberi sebahagian kecil kerusi DUN di Pulau Pinang dan Selangor.

“Umno dan BN sudah hilang kekuatan sekarang, dahulu parti itu memerintah Malaysia, sekarang berapa sahaja kerusi yang Umno bertanding.

“Di Pulau Pinang hanya enam kerusi ditandingi, sedangkan BN pernah menang 19 kerusi sebelum ini, begitu juga di Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2023

- Advertisement -