
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah meletuskan simbolik mengangkat tangan yang kini menjadi fenomena diikuti ramai sebagai tanda solidariti dan sokongan terbuka kepada beliau.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional Negeri Kedah, Ustaz Mohamad Hilmi Abd Wahab berkata, rakyat sedang memberi sandaran kepada Sanusi untuk menyelamatkan negara menerusi PRN di enam negeri ketika ini.
“Biarpun ada bermacam fitnah dan tekanan cuba diberikan lawan politik dari Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), tetapi sokongan anak muda dan pelbagai lapisan masyarakat telah memberi semangat kepada Sanusi dan PN Kedah.
“Kita lihat di TikTok ada orang Cina, ada kaum wanita, ada profesional, secara berani menyatakan sokongan terbuka kepada Sanusi. PRU15 hari tu orang selepas mengundi tunjuk dakwat dijari, tapi hari ini dia tunjuk sokongan dengan angkat tangan (macam Sanusi).
“Hari ini, Sanusi bukan dilihat untuk Kedah, tapi diharapkan menang di Jeneri dan menyebabkan kemenangan besar di PRN Kedah. Mereka melihat, menang Sanusi dan PN di Kedah, adalah kemenangan untuk seluruh Malaysia. Sebab itu rakyat menobatkan beliau sebagai ‘Hero Malaya’.
“Dia dimasyhurkan oleh rakyat, bukan oleh pimpinan PAS, bukan oleh pimpinan PN. Bagi rakyat, batang tubuh yang bertanding di Jeneri inilah sandaran untuk menyelamatkan dan mengubah situasi politik Malaysia, insya-Allah,” ujar beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah. – HARAKAHDAILY 29/7/2023




















