
SELANGOR: Kerusi ‘panas’ Parlimen Gombak menyaksikan pertarungan nama-nama seperti Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Menteri Besar Selangor Dato Seri Amirudin Shari dari Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
PRN kali ini menyaksikan tiga wakil dari parti berlainan disahkan bertanding masing-masing di DUN Sungai Tua dan Gombak Setia.
Di Gombak Setia menyaksikan pertarungan tiga penjuru turut berlaku, melibatkan calon dari PN, Hilman Idham yang menerima sorakan kuat oleh penyokong-penyokong PN ketika pengumuman dibuat.
Hilman bakal bertarung dengan calon dari Barisan Nasional (BN), Megat Zulkarnain Omardin dan Mohamed Salim Mohamed Ali dari parti Bebas.
Bagi kerusi DUN Sungai Tua, Muhammad Hanif Jamaluddin dari PN akan bertanding dicabar oleh Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari dari PH dan calon parti Bebas, Suman Gopal.
Azmin pula disahkan akan bertanding di kerusi DUN Hulu Kelang bersaing dengan calon PH, Juwairiya Zulkifli.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sungai Tua Norazlina Abdul Aziz, serta Pengurus Pilihan Raya Hulu Kelang, Khairul Aizawati Khalid dan Gombak Setia, Mohd Hasrul Hisham Abdullah mengesahkan perkara itu dalam pengumuman calon yang layak bertanding pada PRN2023 di Dewan Mutiara Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini, hari ini.
Menurut Pegawai PRN, kesemua calon yang disebut lulus dan tiada borang yang ditolak, mengesahkan calon yang akan bertanding dalam PRN nanti.
Terdahulu, SPR menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian PRN 2023 selepas pembubaran DUN di Kelantan (22 Jun), diikuti Selangor (23 Jun) manakala Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang adalah pada tarikh yang sama iaitu 28 Jun ini.
Negeri terakhir yang membubarkan DUN ialah Negeri Sembilan iaitu 1 Julai 2023 dan tarikh pengundian awal adalah 8 Ogos 2023. – HARAKAHDAILY 29/7/2023




















