PN, PH-BN satu lawan satu di DUN Pilah

- Advertisement -

KUALA PILAH: Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha disahkan menentang calon PH-BN dalam persaingan satu lawan satu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS negeri itu ditentang oleh calon dari Pakatan Harapan (PH), Nur Zunita Begum Mohd Ibrahim manakala BN tidak menghantar wakil selepas parti itu menjalin kerjasama politik dengan PH selepas PRU15.

- Advertisement -

Pengesahan pencalonan ini diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Pusat Penamaan Calon N18 Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap di Dewan Dato’ Bahaman Suamsudin Kuala Pilah pada jam 10.24 pagi.

Rafiei yang diiringi oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin bersama lebih 500 orang penyokong yang berarak dari Masjid Jamek Yam Tuan Raden dilihat memasuki perkarangan pusat penamaan calon tersebut pada jam 9.05 minit pagi.

Pencalonan Rafiei, 70 telah dicadangkan oleh Sabarudin Naim dan disokong oleh Mohd Nisam Moin.

Rafiei merupakan seorang tokoh berlatarbelakangkan pendidikan dengan jawatan terakhir beliau di dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Pengetua Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Selangor sebelum bersara pada 2011.

Kerusi DUN Pilah sebelum ini disandang oleh Mohamad Nazaruddin Sabtu, juga daripada PH yang memperolehi 5643 undi menewaskan Dato’ Norhayati Omar (BN) dan Fadzil (PAS) dengan majoriti 1806 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

SPR sebelum ini telah menetapkan tarikh mengundi awal adalah pada Selasa 8 Ogos sementara tarikh membuang undi adalah pada Sabtu 12 Ogos.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 1 Julai lepas oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Ini bagi membolehkan PRN diadakan bersama-sama dengan enam negeri lain yang belum menjalankan pilihan raya iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – HARAKAHDAILY 29/7/2023

- Advertisement -