
KUALA PILAH: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N19 Johol perlu kepada transformasi pertanian moden sebagai langkah meningkatkan pendapatan penduduk kawasan ini.
Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) PERIKATAN NASIONAL bagi DUN ini, Kamarudin Md Tahir berkata, ia adalah bagi mengatasi isu tanah terbiar yang hanya dipajak kepada orang luar.
“Tanah terbiar banyak. Penduduk di sini kebanyakannya warga emas. Mereka sudah tak mampu nak usahakan sendiri.
“Sekarang ni mereka hanya pajak tanah pada pengusaha luar pada kadar RM200 ke RM300 setahun,” katanya kepada HarakahDaily di Bilik Gerakan Induk PERIKATAN NASIONAL DUN Johol, selepas selesai penamaan calon, di sini, hari ini.
Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Pilah sah bertanding dalam PRN ini menentang penyandang daripada BN, Saiful Yazan Sulaiman.
Saiful menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 pada 2018 dengan majoriti 965 undi mengalahkan Zulkefly Omar (PKR) dan Kamarudin sendiri yang bertanding atas tiket PAS.
Menurut Kamarudin, sekiranya beliau terpilih sebagai wakil rakyat di DUN ini pada PRN ini, perkara ini akan menjadi keutamaan beliau untuk diberi perhatian.
“Kita boleh minta kerjasama agensi-agensi kerajaan untuk memajukan tanah-tanah ini seperti apa yang dilakukan FELCRA.
“Kita juga akan usahakan untuk mengajak kolej-kolej membuka cawangan di sini. Keutamaan kepada kolej-kolej yang lebih menumpukan kepada pertanian. Kita nak modenkan pertanian di sini.
“Dengan ini, anak-anak muda boleh terlibat dengan pertanian moden, dapat mengelakkan mereka mencari kerja di luar dan dalam masa yang sama dapat memajukan tanah terbiar,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2023




















