PRN: Calon PN mampu bersaing sengit

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Calon-calon Perikatan Nasional (PN) berpotensi mampu mewujudkan persaingan yang sengit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, calon-calon PN di Selangor mempunyai latar belakang yang hebat dan berpengalaman luas dalam mentadbir negeri tersebut.

- Advertisement -

“Saya melihat calon-calon tersebut umpama kerajaan bayangan yang terdiri daripada golongan yang hebat dari segi latar belakang seperti mantan rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS),” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan calon tersebut pernah menjawat jawatan seperti Menteri Besar Selangor, Menteri Persekutuan dan Pegawai Kanan Tinggi Kerajaan yang mana mereka mempunyai pengalaman yang matang dari segi pentadbiran.

“Pada pandangan saya, perkara sebegini akan memberikan persaingan yang sengit kepada pihak lawan dalam menghadapi PRN Selangor yang akan bermula tidak lama lagi,” kata beliau kepada HarakahDaily.

Menurut beliau lagi, PN memahami demografi politik tempatan yang mana jumlah pengundi bukan Melayu adalah lebih besar setelah meneliti calon-calon PN yang bakal bertanding dalam PRN Pulau Pinang.

“Inilah sebenarnya realiti politik yang perlu difahami oleh mana-mana parti sekalipun dalam bertanding dalam mana-mana pilihan raya yang mana pemilihan calon tidak boleh diletakkan secara semberono,” jelasnya.

Menyentuh tentang sejauh manakah PRN dapat menentukan masa hadapan bukan sahaja dalam peringkat negeri tetapi juga negara, beliau menyatakan PRN tidak boleh mengubah kedudukan kerajaan persekutuan.

“Mengikut perlembagaan dan undang-undang yang ada di negara ini, PRN tidak boleh mengubah kedudukan kerajaan persekutuan yang ada sekarang,

“Namun dengan adanya PRN, maka parti-parti politik dapat dipengaruhi untuk mempertimbangkan semula corak kerjasama politik sedia ada di negara ini,” ujarnya.

Beliau juga menasihatkan setiap parti politik perlu bersifat matang dalam berpolitik dan tidak memberikan sebarang janji manis yang berbentuk penipuan yang boleh meracuni pemikiran rakyat.

“Jika amalan penipuan terus dilakukan oleh mana-mana parti politik maka rakyat tidak akan lagi percaya kepada ahli-ahli politik dan oleh sebab itu, kita sebagai rakyat inginkan politik yang tiada satu pun unsur penipuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2023

- Advertisement -