
KOTA BHARU: Sebahagian besar calon baharu yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak menduga mereka disenaraikan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ada dalam kalangan mereka, malah seolah-olah tidak percaya di atas keputusan pucuk pimpinan memilih mereka bagi melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
Antaranya calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Asma’ Bahrum Nik Abdullah, 51, menerima amanah tersebut bagi meneruskan semangat kental kedua-dua ibu bapanya yang istiqamah dalam PAS sehingga akhir hayat.
Menurut beliau, arwah bapanya Nik Abdullah Raja Ahmad dan ibunya, Nik Shamsiah istiqamah dalam perjuangan dan sentiasa memberi kata-kata semangat kepada anak-anak terus berjuang bersama PAS.
“(Nama) Nik Bahrum tiada ada apa-apa, hanya lambang PAS semata mata,” ujarnya merupakan lulusan undang-undang pada tahun 1998 daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Pada PRN kali ini PN Kelantan menampilkan lima peguam muda. Sebelum ini, PAS Kelantan memiliki empat wakil rakyat lulusan undang-undang terdiri daripada Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Hilmi Abdullah.
Nik Bahrum tidak menafikan perasaan begitu terkejut menerima amanah yang langsung tidak terdetik dalam hatinya.
“Apa yang ada hanya niat untuk bekerja sehingga meraih kemenangan dan meletakkan parti Islam ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Menyentuh tentang agenda kebajikan rakyat yang diperkenalkan kerajaan negeri, beliau akan meneruskannya sebagaimana dilaksanakan sebelum ini.
Bagaimanapun, tambah beliau, perkara itu akan dipertingkatkan lagi dengan melihat secara terperinci agar tidak ada rakyat miskin yang tertinggal menerima bantuan kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 28/7/2023




















