PERIKATAN NASIONAL bukan hanya untuk Melayu – Azmin

Azmin Ali bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini selepas pengumuman dibuat dalam Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor di Taman Medan, Petaling Jaya pada malam tadi, 26 Julai 2023.
- Advertisement -

PETALING JAYA: PERIKATAN NASIONAL (PN) adalah parti berbilang bangsa dan bukan hanya untuk orang Melayu semata-mata.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu mementingkan sokongan daripada bangsa-bangsa lain seperti Cina dan India walaupun majoriti penyokongnya adalah terdiri daripada bangsa Melayu.

- Advertisement -

“Parti PN kami bukanlah bersifat parti Melayu semata-mata kerana ia merupakan parti berbilang bangsa. Oleh itu, kami ingin meyakinkan bangsa Cina dan India bahawa jika mereka mengundi PN (pada PRN 2023), maka selebihnya kami akan jaga (kebajikan) mereka,” katanya.

Azmin  diumumkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos depan melalui pengumuman oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor di Taman Medan, di sini pada malam tadi Rabu (26 Jul), sekali gus menjawab desas-desus sebelum ini bahawa bekas Menteri Besar Selangor itu akan diletakkan untuk bertanding bagi kerusi DUN berkenaan.

Beliau akan menentang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada PRU14 lalu, Azmin bertanding di DUN Bukit Antarabangsa dan menang kerusi itu atas tiket PKR sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kerusi DUN Hulu Kelang sebelum ini ditandingi Amanah yang bertukar kerusi DUN Batu Tiga dengan PKR; dan pada PRU14, DUN Hulu Kelang telah dimenangi oleh Saari Sungib dari Amanah mewakili PH.

Azmin sehubungan itu menyeru seluruh rakyat negeri Selangor untuk mengundi PN bagi menyelesaikan masalah ekonomi yang berlaku di negeri tersebut sejak akhir-akhir ini. 

“Katakan PN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ini, perkara pertama yang saya ingin perbetulkan ialah ekonomi negeri ini yang merupakan kuasa besar (powerhouse) dalam negara ini,”  katanya ketika ditemui  selepas tamatnya Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Negeri Selangor, di sini, malam tadi. 

Beliau menegaskan, ia merupakan cabaran terbesar dalam memenangi PRN Selangor memandangkan negeri tersebut turut menghadapi masalah seperti isu kebajikan rakyat Selangor termasuk golongan  B40 dan B60 yang tidak terurus, selain masalah peluang pekerjaan.

Justeru, menurut Azmin lagi, bagi memperbetulkan sebarang krisis ekonomi yang berlaku dalam negeri Selangor mestilah mempunyai pemimpin yang kuat.

“Namun,  malangnya kerajaan yang mentadbir Putrajaya sekarang ini mempunyai isu kepimpinan yang menyebabkan tiada sifat kepercayaan terhadap mereka.

“Ssetiap isu ekonomi negeri Selangor dapat diselesaikan tetapi memerlukan sokongan rakyat Selangor bagi memenangi PRU Negeri Selangor untuk melakukan sedemikian,” katanya.

- Advertisement -