
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu orang-orang Melayu membuktikan kesatuan pada PRN nanti dengan memberikan undi kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN).
Katanya, orang Melayu mesti memikirkan perjuangan untuk menyelamatkan negara dengan menyokong dan memberi undi kepada mereka yang dicalonkan atas logo atau simbol PN untuk menang.
“Sama ada kita suka, tak suka, kita sokong calon ini. Dan dalam pilihan raya ini Proklamasi Melayu ini tak boleh bertanding kerana kita tidak didaftar. Sebab itu kita akan guna Perikatan (Nasional).
“Kita tak perlu jadi ahli Perikatan. Tetapi kalau calon itu datang daripada Perikatan. Semua kita sokong,” ujarnya pada Townhall Bicara: Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, di sini semalam.
Beliau juga mahu badan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan lain yang ada supaya memberi sokongan sama dan berharap tidak ada menolak calon telah ditentukan selagi ia mewakili PN.
“Kita juga tidak boleh bertanding sebagai (calon) Bebas kerana Bebas tak boleh bersatu. Mereka akan memecah lagi undi-undi kita. Selalu nak kita ingat bahawa kalau kita berpecah kita akan kalah.
“Cuma kalau kita bersatu saja kita akan menang. Kadang-kadang kita dapat calon yang kita suka tapi kalau dapat calon-calon yang kita tidak suka pun selalu ingat kejayaannya akan jadi kejayaan gerakan kita untuk menyelamatkan orang Melayu. Sebab itu jangan lagi soal apabila sudah dinamakan calon.
“Walaupun dia daripada parti lain ataupun gerakan lain ataupun NGO lain ataupun orang perseorangan. Asalkan dia dikenal pasti sebagai calon orang Melayu yang menggunakan logo dan simbol parti Perikatan. Kita semua perlu sokong. Itulah cara kita,” serunya. – HARAKAHDAILY 26/7/2023




















