
KAPAR: Penyertaan kira-kira 500 peserta dalam program Townhall Anak Muda Sementa anjuran Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) Kawasan Kapar menunjukkan sokongan dan kebangkitan gelombang rakyat, khususnya anak muda untuk mengangkat PN bagi mentadbir negeri Selangor.
Pengarah program, Muhammad Aniq Ikhwan berkata, kehadiran sangat menggalakkan apabila peserta yang turun bukan hanya dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa dan sekitar kawasan Kapar, malah ada yang datang dari Kuala Selangor dan lain-lain lagi.
“Ini menunjukkan rakyat (khususnya anak muda) mahukan PN untuk mentadbir negeri Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program yang diadakan di Restoran The Lubokx, Rantau Panjang semalam.

Menurut Muhammad Aniq, tujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada golongan anak muda terutama apabila Undi 18 telah dilaksanakan.
“Program ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada anak muda tentang pentingnya mengundi.”
“Sekarang ni ada Undi 18. Jadi, kita nak sedarkan anak muda bahawa pentingnya memilih pemimpin yang akan mencorakkan masa hadapan negara,” katanya.
Program tersebut bermula dengan pelepasan konvoi motosikal bermula dari Masjid Kiyai sehingga ke Restoran The Lubokx sejauh lima kilometer.

Sementara menurut Zul Huzaimy pula, anak muda perlu turun mengundi kerana setiap undi sangat penting bagi masa hadapan mereka.
“Keluarlah mengundi. Jangan biarkan kita menjadi mangsa suatu hari nanti dengan tidak mengundi. Satu undi itu sangat penting.”
“Ingat apa yang dah berlaku dan apa yang akan berlaku adalah sejarah yang tidak dapat diulang lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2023




















