Tanah Melayu mesti kekal sebagai asal usul Malaysia

Ada pihak sanggup serah negara ini bagi dimiliki orang lain

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tanah Melayu mesti kekal dijamin sebagai asal usul kepada negara ini dan dakwaan pihak tertentu bahawa ia sudah tidak lagi wujud sama sekali tidak boleh diterima.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu adalah bangsa yang murah hati di mana sanggup menerima orang daripada negara-negara lain sebagai tetamu.

“Kita layan mereka dengan baik, kita bagi kebebasan kepada mereka. Mereka boleh kekal sebagai orang asing mempunyai bahasa yang berlainan, mempunyai sekolah yang berlainan, budaya yang berlainan daripada kita. 

“Itu menunjuk bahawa kita adalah manusia yang tidak suka bermusuh dengan sesiapa. Malangnya hari ini orang yang kita jemput, orang yang kita terima sebagai warganegara kita ini nak tukar negara kita ini.

“Dan berkata bahawa ini bukan lagi Tanah Melayu, ini adalah negara berbilang kaum. Ya kita akui negara kita mempunyai banyak kaum. Tetapi janganlah sampai kepada tahap mendakwa bahawa negara kita ini bukan lagi Tanah Melayu, tetapi dimiliki oleh siapa saja yang berada di negara kita ini. 

“Seperti orang biasa kita jemput tetamu untuk datang ke rumah kita. Untuk makan minum dan kita layan mereka dengan baik. Tetapi tak lah sampai mereka mendakwa bahawa rumah kita ini adalah hak mereka, ini tidak benar sama sekali,” ujarnya.

Sebab itu katanya, beliau menentang usaha untuk mendakwa Malaysia sebagai negara berbilang kaum di mana sungguhpun terdapat banyak kaum, tetapi pemiliknya adalah orang Melayu yang menjadi tuan rumah.

“Di dalam negara kita ini, janganlah ada sesiapa yang mendakwa kononnya dia bukan lagi tanah air kita. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dengan begitu ramai menunjuk bahawa ini adalah negara kita. Dan tidak ada siapa yang boleh ambil negara kita. 

“Dan kita akan tentukan dia kekal sebagai negara kita. Walaupun ada kelemahan di kalangan kita tetapi hakikatnya ialah daripada segi undang-undang pun, daripada segi moral pun, negara kita ini dipunyai oleh orang Melayu. 

“Kita sedia menerima orang asing tetapi janganlah orang asing mendakwa kononnya mereka sudah miliki negara kita,” ujarnya pada Munajat Rakyat Kelantan Ppakat Pertahan dan Amanat Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Menurut beliau, ramai yang berkata orang Melayu berpecah dan tidak mungkin bersatu serta akan ada yang menguasai negara ini, tetapi himpunan tersebut telah membuktikan sebaliknya.

“Lihat beberapa banyak pemimpin daripada parti-parti Melayu, daripada orang Melayu yang di sini kerana ingin memperjuangkan nasib masa depan orang Melayu. Tidak mudah bagi kita serahkan negara kita kepada orang lain. 

“Kerana kita juga mempunyai kebolehan. Kita juga boleh mentadbir dan membangunkan negara kita,” ujarnya mengingatkan orang Melayu mesti bersatu kerana itulah kekuatan sebenar bangsa.

Katanya, seruan beliau itu bukan hanya untuk Semenanjung, tetapi Sabah dan Sarawak juga adalah negeri-negeri dimiliki asalnya oleh Bumiputera dan suku-suku kaum di sana selaku pemilik negeri yang perlu dipertahan kedudukan mereka selaku tuan punya.

Seru beliau, sebagai bangsa yang memiliki tanah air ini, jangan lepaskan ia kepada orang yang tidak bertanggungjawab dan sanggup menyerahkannya bagi dimiliki oleh orang lain. – HARAKAHDAILY 22/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -