
KOTA BHARU: Sejarah tercatat sekali lagi malam tadi apabila Tun Dr Mahathir Mohamad memakai vest berwarna hijau berada di pentas bersama pemimpin PAS, Bersatu dan Gerakan.
“Saya tidak pernah fikir Tun boleh memakai baju warna hijau seperti malam ini,” kata Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah.
Katanya kehadiran negarawan ulung tersebut dapat membantu Perikatan Nasional (PN) untuk terus mara ke Putrajaya selepas ini.
Ditemui media selepas itu Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, kehadiran Tun Mahathir diharap dapat membersihkan kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Menurutnya PAS sentiasa terbuka menerima mana-mana individu yang sudah berubah untuk bersama-sama dengan perjuangan parti itu.
Dr Mahathir pada era 1960-an pernah menaiki pentas PAS selepas dipecat daripada Umno ketika era Tunku Abdul Rahman.
Dan sekarang ia berulang semula malam tadi apabila Tun hadir pada pentas PAS dan PN bagi mempertahankan kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah serta mengambil alih teraju kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 22/7/2023




















