
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyatakan solidariti buat masyarakat Islam sedunia dalam pertemuannya dengan Kumpulan Duta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pertemuan pada Khamis (20 Jul) itu diadakan selepas seorang lelaki, Salwan Momika membakar salinan kitab suci umat Islam di bawah perlindungan polis di hadapan Masjid Stockholm di Sweden bulan lalu, yang dikecam secara meluas oleh negara-negara Islam seluruh dunia.
Guterres dalam satu kenyataan menerusi jurucakapnya, Stephane Dujarric mengecam tindakan tidak bertoleransi, keganasan dan Islamofobia, yang menurutnya memburukkan lagi ketegangan dan menyumbang kepada diskriminasi dan radikalisasi, lapor app.com.pk.
Beliau juga menyatakan keazaman PBB untuk melaksanakan sepenuhnya Resolusi Majlis Hak Asasi Manusia mengenai langkah ‘menentang kebencian agama yang membentuk hasutan kepada diskriminasi, permusuhan atau keganasan’.
Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang berpangkalan di Geneva pada 12 Julai mengutuk serangan baru-baru ini insiden bakar al-Quran di Sweden itu walaupun beberapa negara Barat mengundi menentang resolusi itu.
Resolusi itu yang menyeru kecaman terhadap serangan yang menyasarkan Al-Quran dan menggambarkannya sebagai ‘tindakan kebencian agama’ telah diundi oleh majlis yang dianggotai 47 buah negara. – HARAKAHDAILY 21/7/2023




















